Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 11th September 2020

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Cubaan terakhir kem Tan Sri Musa Aman untuk menghalang kelangsungan Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah sekali lagi gagal.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan daripada bekas ADUN Tamparuli, Jahid Jahim untuk mahkamah menggantung PRN Sabah atas alasan menunggu sehingga keputusan mahkamah antara Musa dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal diselesaikan.

Dalam permohonan dikemukakan, Jahid yang juga sekutu Musa meminta mahkamah menangguhkan keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah membubarkan DUN pada 30 Julai lalu.

Dengan penolakan itu, Hari Penamaan Calon PRN Sabah yang dijadualkan esok akan berjalan seperti biasa.

* “Kami tidak mahu Sabah dikenali sebagai ‘Negeri Perjudian’. Operasi mesin slot menyebabkan kemusnahan kepada institusi keluarga dan masyarakat.

Pelbagai pihak termasuk badan keagamaan di Sabah gembira dengan pengumuman Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berhubung larangan operasi mesin slot di seluruh negeri.

Ketegasan itu berjaya menamatkan operasi mesin judi yang telah bermula sejak 30 tahun lalu di Sabah.

Bagi mereka, ahli politik yang bercita-cita mahu menjadi pemimpin perlu menolak aktiviti perjudian menerusi operasi mesin slot judi di negeri ini.

* Sistem ‘Kad Laporan ADUN’ dan sesi perjumpaan dengan rakyat atau Meet The People, sebulan sekali, antara Misi dan Visi Warisan Plus.

Bagi Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Junz Wong, apabila dilaksanakan kelak, jadual wakil rakyat turun padang akan lebih teratur dan dapat direkodkan untuk rujukan rakyat sendiri.

* Dua muka baharu antara tujuh calon Parti Keadilan Rakyat, PKR yang diumumkan hari ini.

Mereka adalah bekas Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Alijus Sipil yang bertanding di DUN Tamparuli dan Peto Galim di DUN Inanam.

Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew akan mempertahankan kerusi DUN Api-Api.

* Parti Kinabalu Progresif Bersatu, UPKO terus mendapat tempat di hati rakyat Sabah.

500 ahli baharu menyertai parti itu sempena majlis pelancaran jentera pilihan raya UPKO N. 47 Telupid, kelmarin.

Manakala di Kiulu, 85 ahli Parti Solidariti Sabah Tanah Airku, STAR di Pusat Daerah Mengundi Pukak bertindak keluar parti dan menyerahkan borang keahlian menyertai UPKO.

* PRN Sabah pada 26 September ini merupakan rahmat kepada masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri, DUN Telupid kerana buat pertama kali mereka akan mempunyai wakil rakyat daripada anak jati Telupid.

Sehubungan itu, calon UPKO bagi DUN Telupid, Felix Joseph Saang berkata, masa depan Telupid lebih cerah selepas ini kerana suara mereka akan lebih didengari setiap kali Sidang DUN terutama berkaitan masalah rakyat.

Justeru katanya, penting untuk pengundi Telupid memilih UPKO, kerana sebagai parti sekutu kepada Warisan Plus yang akan memimpin Kerajaan Sabah, segala pembangunan di daerah itu dapat dirancang dengan baik.

Felix, 46, anak jati Kampung Batu 4, Telupid, adalah Ketua Bahagian UPKO Beluran dan Ketua Pemuda UPKO Pusat. Lulusan institusi pengajian tinggi dari Switzerland itu merupakan antara pemimpin muda Sabah yang sedang meningkat naik dalam karier politiknya dan juga sebagai ahli perniagaan.

* Kluster Benteng LD mencecah 167 kes hari ini berbanding 40 kes semalam.

Angka itu antara yang tertinggi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP di negara ini.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, daripada jumlah itu, 76 kes adalah warganegara di mana 70 kes adalah banduan penjara dan enam kes melibatkan orang awam yang dikesan melalui saringan kontak rapat.

Sementara itu, baki 91 kes lagi membabitkan bukan warganegara yang melibatkan rakyat Filipina, 61 kes dan Indonesia, 30 kes.

* Polis Kontinjen Sabah mengingatkan semua calon parti, wakil parti dan orang awam agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard SOP sepanjang proses PRN berlangsung bermula esok dengan proses penamaan calon serta sepanjang tempoh berkempen selama dua minggu sehingga hari pengundian.

* Selepas hampir seminggu bertarung nyawa di unit rawatan  rapi Hospital Putrajaya, penyanyi berasal dari Tuaran, Sandra Dianne, 25, menghembuskan nafas terakhir, kira kira 1 pagi tadi.

Sandra atau nama penuhnya, Alessandra Dianne Ampuria terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan mengikuti latihan konsert minggu keempat Big Stage 2020 di Pusat Konvesyen Antrabangsa Putrajaya, Sabtu lalu.

Difahamkan, kereta dipandu penyanyi muda itu hilang kawalan sebelum melanggar sisi kiri sebuah kenderaan lain di hadapannya. Sejak kemalangan itu, penyanyi yang berasal dari Kampung Kauluan, Tuaran itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tidak sedarkan diri.

11th. September 2020.