Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 11th July 2020

Bersama Hikma Juni.

* Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan Sabah mempunyai kuasa autonomi dalam Akta Imigresen untuk membenarkan pekerja China masuk ke negeri ini.

Menurut Ismail Sabri, kuasa autonomi itu membolehkan Sabah membuat keputusan sendiri tanpa perlu memaklumkan kepada jawatankuasa yang dipengerusikannya di peringkat Persekutuan.

* Parti Warisan Sabah mempersoalkan kehadiran pihak berkuasa di kediaman wakil-wakil rakyat kerajaan Sabah di sebalik ketidaktentuan senario politik ketika ini.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr berkata, wakil rakyat Sabah daripada Warisan, UPKO, DAP dan PKR seolah-olah diberi ‘tekanan’ untuk melompat kepada pembangkang.

Rabu lalu tiga wakil rakyat Warisan menerima ‘kunjungan’ daripada pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri, LHDN di kediaman mereka secara serentak.

Tiga wakil rakyat itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah; ADUN Kemabong, Jamawi Jaafar dan seorang ADUN dari Tawau.

Perkara sama turut disuarakan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal ketika berucap di Keningau, Khamis lalu.

Bagaimanapun, Datuk Seri Mohd Shafie yakin, wakil rakyat Sabah mempunyai jiwa yang kental untuk berkhidmat kepada rakyat dan tidak mengkhianati perjuangan parti.

Ketua Menteri turut mengingatkan wakil rakyat kerajaan Sabah mengenai pelbagai taktik yang dilakukan pihak di seberang untuk menarik mereka agar beralih sokongan dan meninggalkan parti.

* Kerajaan Perikatan Nasional, PN melakukan apa sahaja untuk memberi pengajaran kepada Sabah kerana kerajaan negeri tidak menyokong PN.

Terbaharu, sambutan Hari Malaysia 2020 pada 16 September depan diadakan di Sibu, Sarawak, seperti dimaklumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Jika mengikut kepada penggiliran yang diamalkan, sambutan Hari Malaysia sepatutnya diadakan di Sabah selepas Sarawak menjadi tuan rumah tahun lalu.

Sabah adalah tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada 2018.

Tahun lalu, sambutan Hari Malaysia di Stadium Perpaduan, Kuching dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Ketua Menteri , Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Bagaimanapun, politik nampaknya menjadi keutamaan kerajaan Muhyiddin ketika ini sehingga Sabah dihukum daripada menjadi tuan rumah sambutan itu.

* Masalah Orang Asal Sabah yang tidak mempunyai kad pengenalan, sudah berlanjutan sejak sekian lama dan perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Dalam Negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri, Tanjong Kapor, Ben Chong berkata, masalah itu mendatangkan kesukaran kepada golongan berkenaan apabila hendak berurusan di hospital mahupun agensi kerajaan.

Katanya dalam kes terbaru, sepasang suami isteri berdepan kesukaran menjelaskan bayaran bil hospital yang mencecah lebih RM4,000 disebabkan mereka tiada kad pengenalan, biarpun pasangan ini merupakan Orang Asal Sabah dari kaum Kadazan Dusun Murut Rungus.

Masalah itu menyebabkan mereka dikenakan bayaran hampir sama seperti kadar bayaran untuk warga asing.

* Kerajaan Persekutuan diminta membantu menangani masalah air yang dihadapi penduduk Labuan.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, berkata berdasarkan maklumat, Labuan akan berhadapan dengan isu air dalam jangka masa yang lama.

Katanya, peruntukan RM100 juta yang diluluskan dua tahun lalu untuk menggantikan paip lama di Labuan, hanyalah 10 peratus daripada RM1 bilion yang diperlukan untuk menaik taraf keseluruhan paip lama di pulau berkenaan.

* Kos rawatan dan penjagaan seekor Gajah Boneo berusia 2 tahun yang mengalami jangkitan mata akan dibiayai FGV Holdings Berhad.

Gajah Borneo yang diberi nama ‘Sahabat’ diselamatkan pekerja ladang setelah ditemui merayau-rayau berhampiran sempadan Hutan Simpan Tabin, di Lahad Datu, April lalu sebelum diserahkan kepada Unit Penyelamat Hidupan Liar, Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Hasil pemeriksaan mendapati kedua dua mata anak gajah itu mengalami jangkitan teruk sehingga menyebabkan ‘Sahabat’ terpisah dari kawanannya.

Jangkitan itu boleh menyebabkan ‘Sahabat’ buta.

‘Sahabat’ kini mendapatkan rawatan lanjut di Taman Hidupan Liar Lok Kawi dekat Kota Kinabalu, kira kira 500 kIlometer dari tempatnya ditemui.

* Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. APMM mengesan masih terdapat sindiket dari negara jiran, yang membawa masuk alat mengebom ikan iaitu fius sebelum dijual kepada nelayan asing di negeri ini.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata, hasil maklumat risikan APMM mendapati fius berkenaan, dibeli dari negara jiran sebelum dipasarkan kepada individu yang menangkap ikan menggunakan kaedah terlarang itu.

11th. July 2020