Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 11th August 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Kehadiran Ketua Menteri di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan hari ini membawa khabar gembira kepada penduduk di sembilan buah kampung yang selama ini tinggal di kawasan ‘setinggan’ berikutan tindakan kerajaan terdahulu menjadikan tanah itu sebagai rizab hutan.

Penantian mereka untuk menghalalkan tanah diduduki berakhir, apabila menerima sendiri geran daripada Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal selepas kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah mewartakan tanah-tanah berkenaan sebagai perkampungan yang sah.

Selain geran untuk perkampungan, sebanyak 240 geran tanah turut diserahkan Ketua Menteri kepada rakyat Kinabatangan dari 36 buah kampung yang telah membuat permohonan untuk memiliki tanah sejak sekian lama.

* Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong berkata jawapan di Dewan Rakyat bahawa tiada keperluan menubuhkan satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, PSC untuk memantau pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, MA63, adalah mengejutkan dan tidak boleh diterima.

Katanya, ia adalah penghinaan kepada semua rakyat Sabah dan Sarawak dan menimbulkan kebimbangan mengenai apakah yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan berhubung MA63.

Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ini mempersoalkan apakah yang disembunyikan atau ditakuti oleh Kerajaan Persekutuan sehingga tidak membenarkan Ahli Parlimen memantau kemajuan pelaksanaan MA63?

Menurutnya sebelum ini, Kerajaan Pakatan Harapan tidak pernah sekalipun melarang pemantauan dan pemeriksaan PSC terhadap hasil perbincangan Jawatankuasa Khas Kabinet.

Datuk Vui Keong merujuk kepada jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hanifah Hajar Taib di Dewan Rakyat, semalam bahawa tiada keperluan menubuhkan PSC untuk memantau pelaksanaan MA63.

* Hospital pakar pertama di pantai Timur Sabah, Tawau Specialist Medical Center, TSMC, yang dibina dengan kos RM125 juta, dibuka hari ini.

* Jabatan Kerja Raya, JKR Tawau memberi jaminan projek naik taraf longkang bagi mengatasi masalah banjir kilat dan membersihkan longkang yang tersumbat, tidak menjejaskan peniaga di Jalan Kuhara.

Jaminan itu sekaligus melegakan lebih 20 peniaga di kawasan berkenaan.

11th. August 2020.