Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 11 Mei 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Selepas 3 hari tanpa sebarang kes positif Covid-19, Sabah merekodkan 10 kes hari ini.

Menurut statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan, 4 kes dilaporkan di Lahad Datu, 3 di Semporna, 2 kes di Keningau dan 1 kes di Tawau.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah meningkat kepada 327.

* Bazaar Ramadan dan Aidilfitri, karnival jualan serta kedai gunting rambut dan salun kecantikan masih dilarang beroperasi di Sabah.

Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masnah Matsalleh dalam satu kenyataan berkata aktiviti  hiburan dan riadah, perarakan keagamaan dan sambutan ulang tahun pasukan keselamatan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta majlis-majlis perasmian juga masih tidak dibenarkan.

Bagi sektor hiburan dan riadah, aktiviti seperti panggung wayang, pusat karaoke, taman tema, muzium, busking, pusat refleksologi, pusat hiburan dan kelab malam, turut dilarang.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri juga tidak dbenarkan kecuali bersama ahli keluarga terdekat.

Turut tidak dibenarkan, aktiviti seperti pameran kerjaya, pameran perkahwinan, promosi dan pakej pelancongan, karnival jualan dan semua jenis persidangan yang melibatkan kumpulan yang ramai.

Semua sekolah rendah dan menengah serta  Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta kekal ditutup sehingga dimaklumkan kelak.

Aktiviti kokurikulum  bersemuka dan sukan, sebarang bentuk perhimpunan sekolah dan sebarang bentuk majlis atau program yang menghimpunkan lebih daripada 10 orang turut dilarang.

Pertandingan sukan yang melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai di stadium dan  acara berkumpulan di luar yang melebihi 10 orang seperti larian, berbasikal, konvoi bermotosikal, sebarang aktiviti sukan dalaman seperti gimnasium, kolam renang dan sukan bersentuhan seperti ragbi, tinju, bola sepak dan bola keranjang juga tidak dibenarkan.

Aktiviti sosial seperti kenduri-kendara, majlis berbuka puasa, majlis perkahwinan dan sambutan ulang tahun, rumah terbuka, majlis-majlis sosial, kemasyarakatan dan budaya juga tidak dibenarkan.

* Semua penumpang perkhidmatan bas ekspres di Sabah yang mula beroperasi esok, perlu mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan termasuk wajib mengisi borang deklarasi Covid-19 untuk rujukan pihak berkuasa.

Presiden Majlis Pengusaha-Pengusaha Bas Ekspres Sabah, SEBOC, Datuk Donald Hanapi berkata semua penumpang juga diingatkan untuk memakai pelitup muka, duduk mengikut jarak yang telah ditetapkan, melakukan pemeriksaan suhu sebelum menaiki kenderaan dan tidak dibenarkan untuk berhenti-henti dalam perjalanan.

Katanya, jika penumpang gagal mematuhi SOP yang ditetapkan, mereka tidak akan dibenarkan naik ke dalam bas walaupun telah membeli tiket.

Hanya separuh daripada kapasiti penuh penumpang dibenarkan untuk menaiki bas,  bagi mematuhi penjarakan sosial.

Sementara itu, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sabah, SHAREDA menyatakan komitmen semua ahlinya untuk mematuhi sepenuhnya SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi memastikan keselamatan kakitangan, pekerja dan sub-kontraktor di tapak pembinaan, sentiasa diberikan keutamaan.

Presiden SHAREDA, Datuk Chew Sang Hai berkata pembukaan semula sektor hartanah dan pembinaan serta rangkaiannya di Sabah sejak 8 Mei lalu, akan memberi manfaat kepada 160 industri lain bagi membantu menyuburkan ekonomi Sabah.

* Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menggesa usahawan tempatan untuk memanfaatkan platform media sosial dalam memasarkan produk masing-masing bagi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kewujudan produk-produk mereka sekali gus mampu meraih pelanggan dari atas talian.

* Selaras dengan prosedur operasi standard, SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan untuk membendung penularan Covid-19, premis perniagaan termasuk di kompleks membeli belah besar yang dibenarkan beroperasi mulai semalam, kini mengambil langkah keselamatan.

Menghadkan bilangan pelanggan ke dalam premis, penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan menyediakan pensanitasi tangan, mengambil suhu badan  dan mendaftar butiran setiap pelanggan,  antara norma baharu di pusat membeli belah di negeri ini.

* Tamu Ahad Sabindo  yang dibenarkan beroperasi semula semalam dijadikan kayu pengukur bagi pembukaan semula pasar dan kawasan menjaja lain di Tawau selepas lebih dua bulan ditutup ekoran penguatkuasaan PKP sejak 18 Mac lalu.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau Datuk Ir Amrullah Kamal berkata, pematuhan prosedur operasi standard di Tamu Ahad Sabindo akan dinilai secara terperinci sebelum sebarang keputusan untuk membuka pasar atau tamu lain dilakukan, termasuk di Pasar Malam Jalan Chester.

* Pihak berkuasa sedang menyiasat insiden sebuah pesawat Twin Otter DHC-6 milik anak syarikat Malaysia Airlines, MASWings yang terbabas ke dalam longkang selepas tergelincir dari landasan ketika mendarat di Long Seridan dari Marudi, pagi Sabtu lalu.

MASWings juga bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan dalam siasatan kejadian itu.