Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 11 Januari 2021

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Perintah Kawalan Pergerakan, PKP dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah selama 14 hari bermula 13 Januari sehingga 26 Januari.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB pula dilaksanakan di enam negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan juga bermula 13 Januari sehingga 26 Januari.

Beliau berkata, keputusan ini dibuat berdasarkan penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan nasihat pakar kesihatan awam.

* Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah, GRS sependapat dengan keputusan Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP selama dua minggu bermula 13 Januari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pelaksanaan PKP itu perlu bagi menghentikan peningkatan kes Covid-19 di Sabah.

Dengan itu, beliau menggesa orang ramai agar mematuhi prosedur operasi standard, SOP yang ditetapkan pihak berkuasa bagi menghentikan rantaian jangkitan Covid-19.

* Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah, GRS sentiasa menghargai dan mengalu-alukan sumbangan serta bantuan daripada pelbagai pihak dalam bersama-sama memerangi wabak Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, NGO dan badan-badan amal penting dalam membantu kerajaan menangani pandemik ini.

* Bermula 1 Januari lalu, pekerja asing wajib menjalani ujian saringan Covid-19 bagi menangani penularan pandemik itu.

Namun di Sabah, hampir 112,000 pekerja asing belum menjalani ujian saringan berkenaan.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sabah, Wan Zulkifli Wan Setapa berkata setakat ini, hanya 3,200 orang pekerja asing telah menjalankan ujian saringan Covid-19, melibatkan 700 majikan.

Ketika ini terdapat 115, 157 orang pekerja asing yang bekerja dalam pelbagai sektor di Sabah, melibatkan sejumlah 7,578 majikan.

* Pemimpin Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat, UPPM diingatkan agar sentiasa memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Nabawan, Datuk Abd Ghani Mohd Yassin berkata, mereka yang dilantik perlu memanfaatkan peluang itu untuk menabur bakti dan berkhidmat di tempat sendiri.

* Hujan lebat sejak semalam mengakibatkan lima buah kampung di daerah Kudat terjejas akibat banjir dan tanah runtuh.

Berikutan itu, 44 orang mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan, SK Tun Mustapha, sejak 4.20 pagi tadi.