Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 11 Februari 2020

24

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Sabah maju selangkah ke hadapan apabila menjadi negeri kedua selepas Sarawak yang mengambil inisiatif melancarkan sistem pembayaran tanpa tunai, e-wallet dikenali “Sabah Pay” dalam perkhidmatan kerajaan yang memudahkan proses pembayaran. Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata “Sabah Pay” mepermudahkan urus tadbir dalam perkhidmatan kerajaan selain menjimatkan kos dan masa.

* Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pinjaman Sabah, SCC, George Taitim Tulas berkata 60 peratus kutipan hasil daripada agensi dan jabatan kerajaan di Sabah dijangka diperolehi melalui ‘Sabah Pay’. Sasaran itu ditetapkan berikutan penyertaan 27 jabatan dan agensi kerajaan negeri serta 28 syarikat perniagaan dan komersil daripada pelbagai sektor. Aplikasi Sabah Pay melibatkan sektor perkhidmatan, runcit, hospitaliti, dewan perniagaan dan perdagangan serta persatuan. Sabah Pay  dijangka dimanfaatkan oleh 100,000 pengguna di Sabah menjelang hujung tahun ini.

* Kerajaan Sabah akan melancarkan tabung kutipan dana bagi membantu rakyat China di Wuhan yang kini berdepan kesukaran berikutan penularan wabak novel koronavirus (2019-nCoV). Ketua Menteri berkata tabung menerusi inisiatif kerajaan negeri itu akan dilancarkan tidak lama lagi dengan sasaran kutipan RM1 juta. Ketua Menteri berkata  adalah menjadi tanggungjawab Sabah untuk membantu selaku rakan kerjasama China dalam sektor pelancongan. Menurut Datuk Seri Mohd Shafie, China banyak membantu meningkatkan industri pelancongan di Sabah menerusi kedatangan pelancong negara tembok besar itu ke negeri ini.

* Ketua Menteri berkata kes kematian dua ekor gajah Borneo betina di Ladang Sentosa, Sukau dan Ladang Tangkulap I-O-I berhampiran Hutan Simpan Deramakot, tidak seharusnya berlaku dan diharap tidak berulang. Sehubungan itu beliau mahu skuad elit Tiger Platoon dikerah tahun ini untuk meningkatkan penguatkuasaan dan pengawasan.

* Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali mahu struktur ESSCOM sedia ada dikekalkan dan ditambah baik. Katanya kewujudan ESSCOM penting berikutan masih ada ancaman jenayah rentas sempadan seperti penculikan untuk wang tebusan, penyeludupan senjata dan manusia serta pendatang asing tanpa izin PATI.

* Tahun Baru Cina sudah berlalu, namun masih ada pihak cuba menyeludup bunga api. Di Tawau, Pasukan Polis Marin, P-P-M menggagalkan cubaan menyeludup keluar bunga api dianggarkan bernilai lebih RM25,480 melalui Op Gelora, pagi kelmarin.

* Seorang peluncur udara, Didi Alwin, 25 tahun cedera di rusuk apabila terjatuh dari ketinggian 120 meter, di Ranau, petang kelmarin.