Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 10th July 2020

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Cadangan Penubuhan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan, JPKKP adalah satu bentuk ketuanan Malaya ke atas Sabah dan tidak membantu penyatuan negara bangsa.

Hakikatnya, hal berkaitan tanah dan pembangunan tanah masih menjadi kuasa penuh dan memerlukan kelulusan kerajaan negeri.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata, badan pentadbiran kampung adalah urusan Kerajaan Sabah selama ini dan sebarang cadangan mewujudkan badan pentadbiran persekutuan seperti JPKKP merupakan pencerobohan autonomi.

Tegasnya, kerajaan negeri akan mengekalkan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung MPKK sedia ada sehingga tamat tempoh perlantikan pada hujung tahun ini.

* Bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Bersatu diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan bahawa mereka akan tetap menyokong Presiden Parti Warisan Sabah , Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal sebagai calon Perdana Menteri.

Tun Dr Mahathir dalam satu kenyataan media bersama lima bekas pemimpin Bersatu hari ini turut memutuskan untuk berada di blok Bebas sama ada di dalam ataupun di luar Parlimen.

Tun Dr Mahathir berkata, pihaknya masih berpegang kepada cadangan Parti Amanah Negara dan DAP yang mencadangkan Datuk Seri Mohd Shafie sebagai calon Perdana Menteri.

Manakala Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir masing-masing sebagai Timbalan Perdana Menteri satu dan dua.

* Pembinaan kilang pembuatan kaca di Sabah bakal direalisasikan tidak lama lagi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata syarikat pelabur dari Shenzen, China itu sudah memperoleh tapak pembinaan kilang kaca di Taman Perindustrian Kota Kinabalu, KKIP.

Katanya, pembinaan kilang itu akan membuka kira-kira 200 hingga 300 peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

Dalam ucapannya juga Ketua Menteri berkata Kerajaan Sabah akan melakukan penstrukturan semula dalam sistem penyampaikan kerajaan bagi menyelaraskan pertindihan fungsi dan bidang kuasa sesebuah agensi.

Sebagai contoh, ketika ini terdapat tiga kementerian dan agensi terlibat untuk menyelenggara dan memantau kerja-kerja pembersihan.

* Peguam Martin Tommy yang juga Setiausaha Politik kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong direman enam hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM bagi membantu siasatan kes yang sedang disiasat agensi itu.

Selain Martin, turut ditahan ialah seorang pengarah sebuah jabatan kerajaan di Sabah bagi membantu siasatan berkenaan.

Menurut sumber, Martin ditahan di Kuala Lumpur semalam dan segera diterbangkan balik ke negeri ini.

Beliau telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret pagi ini dan SPRM berjaya mendapatkan perintah reman selama enam hari untuk membantu siasatan.

Pengarah tersebut pula ditahan SPRM Rabu lalu dan direman selama empat hari bermula semalam.

* Penubuhan Pusat Latihan Aeroangkasa di Taman Perindustrian Kota Kinabalu, KKIP akan menjadi medium untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran dalam bidang penyelenggaraan pesawat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal berkata, pusat latihan yang bakal melatih pekerja berkemahiran tinggi itu akan membuka ruang kepada anak-anak muda tempatan menimba pengetahuan untuk menceburi bidang aeroangkasa.

Menurutnya, dengan adanya tenaga kerja mahir dalam bidang penyelenggaraan pesawat ini, mana-mana pesawat yang rosak kini boleh diselenggara di Sabah.

Kemahiran dan kepakaran dalam bidang itu amat diperlukan apabila sektor pelancongan dan penerbangan sudah kembali beroperasi seperti biasa.

* Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata pembukaan Pusat Latihan Aeroangkasa di KKIP bakal melonjakkan Sabah sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi melalui industri aeroangkasa.

* Ketua Menteri mengucapkan selamat menyambut ulang tahun kelahiran ke 95 kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

* Kerajaan Sabah akan mengambil kembali ratusan ribu hektar tanah milik rakyat yang sebelum ini diberikan kepada tauke-tauke balak dan kroni kerajaan Barisan Nasional melalui kontrak perjanjian berat sebelah.

Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berkata, tanah-tanah itu akan diserahkan kepada rakyat Sabah kerana dasar pentadbiran kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah ialah memastikan tanah yang telah diusahakan rakyat menjadi milik sendiri.

* Kes kolera atau taun di Sabah meningkat kepada 36 susulan satu kes baharu yang dilaporkan di Semporna.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, daripada jumlah itu, lima kes tidak menunjukkan sebarang gejala seperti cirit-birit, muntah dan hilang selera makan.

Beliau berkata kes kolera kini merebak ke tujuh daerah di Sabah iaitu Semporna, 14 kes; Kota Kinabalu 11 kes; Beaufort, 4; Putatan, 3; Kinabatangan 2 dan masing-masing satu kes di Tuaran dan Sipitang.

10th. July 2020