Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo 10 Mei 2020

Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo 10 Mei 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Kerajaan Sabah membenarkan beberapa lagi sektor ekonomi beroperasi bermula hari ini, selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP tahap lima di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata sektor yang kini dibuka adalah pelancongan domestik, aktiviti kebudayaan, alam sekitar, hidupan liar dan taman-taman negeri, sukan dan rekreasi.

Turut dibenarkan beroperasi ialah sektor perkhidmatan ikhtisas dan profesional, pengangkutan udara serta kedai menjual kenderaan bermotor, jentera berat dan basikal.

Pergerakan merentas daerah juga dibenarkan sejak 4 Mei lalu.

Pelaksanaan semua aktiviti dalam sektor yang dibenarkan dan rangkaiannya hendaklah mematuhi prosedur operasi standard, SOP Kementerian Kesihatan dan pihak yang berkaitan.

Kerajaan negeri turut meingatkan rakyat Sabah untuk terus mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan sentiasa menggunakan pensanitasi tangan dalam semua urusan seharian untuk keselamatan diri, keluarga dan komuniti.

* Sebarang aktiviti sukan yang melibatkan kontak antara individu seperti bola sepak, bola tampar dan tinju masih belum dibenarkan di Sabah.

Menurut kenyataan Ketua Menteri, aktiviti sukan dan rekreasi yang dibenarkan ialah aktiviti sukan individu, sukan elit dan sukan berprestasi tinggi seperti olahraga, golf, tenis, e-sport, sukan bermotor cubprix, boling padang, memanah, menembak, angkat berat, berbasikal, wushu, karate (kata) dan taekwondo (kata) serta bina badan.

Turut dibenarkan, aktiviti sukan dan rekreasi yang melibatkan tidak lebih 10 individu pada satu-satu masa seperti golf, berbasikal, sukan bermotor, jogging, senamrobik dan lain lain aktiviti senaman jasmani.

Manakala rangkaian kemudahan sukan dan rekreasi seperti golf driving range, jogging track, lapang sasar memanah dan menembak dan taman awam samada di bawah kendalian kerajaan atau swasta, juga dibenarkan.

Pelaksanaan semua aktiviti sukan dan rangkaiannya hendaklah mematuhi prosedur operasi standard, SOP Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa berkaitan.

* Dengan pembukaan pelbagai sektor ekonomi di Sabah, adalah menjadi tanggungjawab majikan dan pekerja serta pengguna untuk menjalankan tanggungjawab mereka dengan mengamalkan norma-norma baharu bagi memastikan jangkitan Covid-19 dapat dibendung.

Mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard, SOP yang ditetapkan ekoran perkhidmatan saringan Covid-19 di fasiliti kesihatan swasta agak terhad,

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, semua majikan perlu memberi fokus kepada pelaksanaan SOP bagi memastikan ada saringan demam terhadap pekerja bergejala, penjarakan sosial, amalan pensanitasi tangan, penggunaan pelitup muka dan penjagaan kebersihan persekitaran.

Beliau berkata, norma baharu ini perlu diamalkan untuk melindungi pekerja dan pelanggan daripada jangkitan Covid-19.

* Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB dilanjutkan 4 minggu lagi sehingga 9 Jun.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berikutan itu, semua peraturan dan prosedur operasi standard, SOP yang ditetapkan sepanjang PKPB perlu terus dipatuhi.

Katanya, tiga perayaan besar akan terkesan dengan lanjutan PKPB iaitu Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, ketiga-tiga perayaan itu tidak boleh diraikan besar-besaran demi memastikan pencegahan wabak Covid-19 dapat diteruskan.

Bagaimanapun katanya, orang ramai dibenarkan menziarahi jiran tetangga di kawasan tempat tinggal masing-masing dengan had maksimum 20 orang sahaja.

* Jabatan Hidupan Liar Sabah sentiasa memantau dan berwaspada terhadap sebarang kemungkinan Covid-19 boleh menjangkiti hidupan liar di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar , Datuk Christina Liew berkata, penyelidik juga tidak menolak kemungkinan jangkitan terhadap hidupan liar seperti gorilla, orang utan dan monyet boleh berlaku.

Atas sebab itu, semua pihak tidak boleh mengambil mudah sebarang risiko jangkitan dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, kakitangan Jabatan Hidupan Liar Sabah masih melakukankan kerja kerja termasuk penyelenggaraan di Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok meskipun pusat itu ditutup kepada pengunjung sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, PKP.

* Berpanas dan berhujan, bukan penghalang bagi dua wakil amil untuk terus melaksanakan amanah membantu orang ramai menunaikan zakat tahun ini di kaki lima bangunan berhadapan Masjid Al-Kauthar, Jalan Persisiran, Tawau, sejak empat hari lalu.

Meskipun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, ditambah lagi dengan ancaman wabak Covid-19 dan penguatkuasaan PKP, ia tidak melunturkan semangat Abdul Hamid Radi, 49, dan rakannya Yahya Rewan, 64, untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka.

10th. May 2020