Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 1 June 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Kes aktif Covid-19 yang masih dirawat di hospital di Sabah semakin berkurangan dengan hanya tinggal 10 kes sahaja setakat hari ini  dengan tiada sebarang kes baharu dilaporkan selama dua hari berturut-turut, dan hanya 1 kes positif baharu dilaporkan hari ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata  1 kes positif baharu yang dilaporkan hari ini  di Putatan, menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah kepada 347.

3 kes  pulih dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih setakat ini sebanyak 332 kes.

Kinabatangan dan Semporna kini bebas daripada jangkitan Covid-19 apabila kes terakhir kedua-dua daerah tersebut dilaporkan telah pulih hari ini.

Kinabatangan merekodkan 23 kes sebelum ini dan satu kes terakhir telah pulih, manakala Semporna merekodkan sebanyak lima kes, termasuk dua kes terakhir yang telah pulih.

Tawau mencatatkan empat kes aktif, diikuti dengan Kota Kinabalu yang mencatatkan dua kes aktif, manakala satu kes aktif masing-masing di Lahad Datu, Tuaran, Ranau dan Putatan.

Kes kematian di Sabah setakat ini kekal lima.

* Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman mencabar Presiden Parti Solidariti Tanah Airku, STAR Datuk Dr. Jeffrey Kitingan untuk menghantar pulang semua rakyat asing tanpa negara atau stateless di Sabah secepat mungkin seperti yang diperjuangkannya selama ini semasa masih berada di blok pembangkang.

Mohd. Azis berkata, jika sebelum ini Jeffrey lantang mengkritik dan menuduh Kerajaan Parti Warisan Sabah mesra dengan golongan tersebut, kini tiba masanya untuk Jeffrey pula melaksanakan tanggungjawab itu.

Menurutnya, kerajaan sebelum ini telah menjelaskan kekangan utama adalah negara penerima enggan menerima golongan berkenaan tetapi Jeffrey adalah pemimpin yang paling lantang mengkritik, justeru beliau perlu membuktikan mampu melakukannya.

Tegasnya, Jeffrey boleh bekerjasama erat dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang baharu, Jonathan Yasin untuk memastikan kerajaan dapat menghantar pulang golongan berkenaan walau apa cara sekalipun kerana itulah perjuangannya.

* Kerajaan Perikatan Nasional, PN digesa mempercepatkan persidangan Dewan Rakyat bukan saja untuk membentang rang undang-undang mengenai kewangan, malah menangani isu ekonomi serta pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong berkata, tindakan kerajaan yang menolak pembentangan usul dalam persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu amat mengecewakan sekali gus menunjukkan kerajaan PN amat khuatir dengan kedudukan mereka.

Jika dilihat keadaan semasa, katanya, kerajaan PN hanya mempunyai tiga majoriti dan

dalam keadaan sedemikian, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiada majoriti jelas dan apa yang berlaku amatlah tidak sihat terhadap sistem demokrasi negara ini.

Justeru, beliau berharap kerajaan membuat keputusan untuk mengadakan  persidangan dewan seberapa cepat yang mungkin.

Sekiranya tidak, ia akan menjejaskan bukan saja langkah yang telah diambil untuk menangani wabak Covid-19, tetapi juga ekonomi negara.

Beliau yang juga Pengerusi Tetap Parti Warisan Sabah turut mengulangi Warisan konsisten terhadap pendirian untuk terus menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi Perdana Menteri.

* Operasi pasar mingguan atau tamu yang dihentikan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP menjejaskan ramai petani yang mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan di kawasan luar bandar.

Namun, bagi penduduk di 30 buah kampung yang terlibat dalam Program ‘Kaki Kaki Kampong’, situasinya sedikit berbeza. Meskipun PKP dilaksanakan, hasil tanaman mereka masih boleh dijual melalui program berkenaan.

Malah, barangan keperluan asas juga boleh diperoleh menerusi program itu.

* Selepas beroperasi selama lebih tujuh tahun, satu satunya hotel bertaraf 5 bintang di Sandakan, Four Points by Sheraton, ditutup akibat pandemik Covid-19 yang menyebabkan sektor pelancongan dan perhotelan terjejas teruk.

Hotel itu menyampaikan mesej “Terima Kasih” secara simbolik menerusi susunan lampu bilik hotel pada hari terakhir ia beroperasi semalam.

Ramai netizens berkongsi kesedihan dengan memuat naik pandangan dari luar dan dalam hotel itu di media sosial.

Turut melahirkan kesedihannya,  Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon yang melawat hotel itu semalam untuk mengetahui keadaan serta nasib pekerjanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri, Tanjung Papat,  berharap rakyat mengambil iktibar daripada pandemik Covid-19 untuk mencari peluang baharu.

* Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman berharap kerajaan negeri dapat memperbanyakkan penganjuran program sukan E-Sports seperti Player Unknown’s Battlegrounds PUBG dan Mobile Legend: Bang Bang yang kini menjadi tren dalam industri sukan maya seluruh dunia.

Ketua Wira Warisan itu berkata, E-Sports bukan lagi sekadar bermain game semata-mata sebaliknya mampu menjanjikan karier yang menguntungkan kepada setiap individu berbakat yang mampu menghidu peluang yang terhidang.

Sehubungan itu katanya, peranan kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan amat penting untuk memberikan landasan kepada golongan muda di Sabah menceburi arena sukan maya itu, bukannya terhad kepada sukan konvensional semata-mata.

* Lazimnya, Sugandoi Kaamatan atau pertandingan nyanyian dalam bahasa Kadazandusun Murut dan Rungus, KDMR diadakan secara besar-besaran dan penuh meriah di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun, KDCA, Penampang, setiap kali sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri.

Bagaimanapun, Sugandoi Kaamatan peringkat akhir tahun ini agak berbeza susulan pandemik COVID-19 apabila ia dianjurkan secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom dan disiarkan secara langsung melalui laman Facebook KDCA dan Era Sabah.

Tampil dengan lagu ciptaan sendiri bertajuk Hominodun, Sheldon Elev muncul sebagai juara,  menewaskan sembilan peserta lain, setelah  tujuh kali mencuba, dan membawa pulang hadiah wang tunai RM 6,000 beserta piala dan sijil.

Bagi pertandingan Sugandoi Dazanak atau Remaja online 2020, juara menjadi milik Allyssa Conrod Mool dari Tambunan yang turut memenangi anugerah Persembahan Terbaik.