
PENAMPANG: Penduduk di daerah ini tampil menyuarakan kebimbangan mengenai kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya yang kini sedang dilakukan di Jalan Penampang-Papar Lama.
Kerja-kerja penyelenggaraan ini dilihat mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya kerana ia tidak dilakukan dengan baik.
Denis Kung yang merupakan penduduk Kampung (Kg) Nambazan menyatakan, kerja-kerja penyelenggaran yang tidak dilakukan dengan baik itu akan menyebabkan air bertakung apabila hujan dan ia akan membahayakan pengguna jalan raya.
Kemalangan boleh berlaku apabila kenderaan mula hilang kawalan sekiranya terlanggar takungan air ini. Tayar kenderaan akan kehilangan cengkaman apabila melalui kawasan air yang bertakung disebabkan olehh ‘hydroplaning’ ini.
“Jika dilihat melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang membabitkan lori penghantar barang yang merempuh penghantar makanan Grab pada Khamis, ia mungkin disebabkan hydroplaning.
“Untuk itu, saya meminta pihak menyeru pihak berkaitan supaya memantau kawasan jalan yang banyak takungan air ini dengan meletakkan papan tanda amaran bagi mengelakkan pengguna jalan raya memandu dengan laju di kawasan tersebut.
Bekas Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kg. Ramayah, Tony Henry berkata, rakaman CTTV yang tular mengenai insiden kemalangan maut di Jalan Penampang-Papar Lama itu bukti yang jelas menunjukkan penguna jalan raya berdepan bahaya apabila melalui jalan tersebut.

Pihak Jabatan Kerja Raya perlu melihat permasalahan yang berlaku di jalan tersebut. Sudah banyak kes kemalangan yang berlaku di laluan tersebut dan rakaman CCTV itu satu bukti jelas bagaimana kemalangan boleh berlaku di jalan berkenaan.
Katanya, penduduk Penampang sudah membangkitkan isu keadaan jalan di sini semasa hari pertama kerja-kerja menaik taraf jalan tersebut dilakukan beberapa tahun lepas. Pemasangan papan tanda amaran, lampu jalan dan sistem peparitan seharusnya diberi perhatian.
Semasa Warisan Plus memerintah, Ahli Parlimen Penampang juga berusaha menyelesaikan beberapa isu berkaitan jalan raya tersebut.
“Ketika ini jalan Ramayah-Putatan yang digunakan oleh lori kontraktor terlibat dalam pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo rosak teruk dan usaha memperbaiki jalan itu langsung.
“Saya harap Menteri Kerja Raya akan meluangkan sedikit masa untuk memantau sendiri masalah yang dihadapi penduduk di Penampang ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog Datuk Darell Leiking berkata, kemalangan maut yang berlaku di Kg Nambazan pada Khamis amat tragik dan langkah perlu diambil bagi mengelakkan kejadian sama berlaku.
Justeru, Timbalan Presiden Warisan ini mencadangkan sesi dialog diadakan secara maya antara pihak terlibat seperti wakil rakyat, pihak pemegang taruh dan wakil agensi kerajaan berkaitan bagi menyelesaikan masalah yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya ini.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan maut tersebut dan saya melihat ada keperluan untuk mengambil pendekatan mengenal pasti masalah utama yang berlaku di laluan tersebut bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang,” katanya.
Darell berkata, banyak isu yang disuarakan oleh penduduk Moyog yang sudah dikemukakan kepada agensi berkaitan namun, tiada langkah penyelesaian yang diambil. Itu menyebabkan penduduk di sini mengambil keputusan memuat naik paparan mereka di media sosial bagi melahirkan rasa tidak puas hati kepada agensi kerajaan.
Untuk itu, demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk di sini, beliau akan mengadakan sesi dialog bersama pemimpin akar umbi, pemegang taruh dan wakil agensi kerajaan bagi membincangkan isu-isu berkaitan yang perlu diselesaikan tanpa mengambil kira latar belakang politik.