Beri Mandat Kepada Calon Berintegriti – DAP Sook

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
PENSIANGAN: Penyelaras Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sook, Clare Taunek mengajak masyarakat Sook supaya menunaikan tanggungjawab turun mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang semakin hampir.

Beliau berkata, gunakan peluang yang ada dalam PRN ini untuk memperbetulkan situasi politik negeri.

“Pilih calon yang boleh bekerja memajukan kawasan. Berilah mandat kepada calon yang berintegriti tinggi dan tidak mudah berubah haluan.

“Hanya anda yang mengenal ‘berlian’ untuk kawasan anda,” katanya selepas mengunjungi dan beramah mesra dengan peniaga Tamu Pekan Sook, baru-baru ini.

Beliau turut mengedarkan pelitup muka dan bendera mini Jalur Gemilang kepada penjaja di kawasan tamu berkenaan.

Dalam kunjungan itu, Clare berkesempatan memberi penerangan ringkas tentang prosedur perlaksanaan PRN Sabah yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Beliau menyeru orang awam agar tidak berasa khuatir untuk keluar menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi. Walaupun suasana sekarang masih dalam fasa menuju pasca Covid-19 namun, langkah-langkah pencegahan tetap dilaksana dalam PRN Sabah.

Menurutnya, seperti Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini yang berlangsung pada 4 Julai lepas, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diguna pakai oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ia dilaksana dengan baik dan tiada sebarang kluster PRK Chini dilaporkan. PRK Slim yang dijadualkan berlangsung pada 29 Ogos ini juga akan diadakan mengikut garis panduan yang sama.

Dalam pelaksanaan pilihan raya, perkara-perkara utama yang diketengahkan adalah seperti penjarakkan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan dan proses saringan badan dilaksanakan dengan ketat di semua proses pilihan raya daripada awal sehingga akhir.

Malah, SPR juga akan bertindak memastikan sebarang bentuk kempen berlangsung dalam jumlah hadirin yang dibenarkan mengikut SOP semasa (ketika ini, hanya 150 jumlah orang dibenarkan berkumpul dalam satu masa).