Beri Kewarganegaraan Kepada PTI Sudah Divaksin Bahaya – Ewon

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Ewon Benedick menyifatkan rancangan Kerajaan memberi kad pengenalan atau kewarganegaraan kepada penerima vaksin yang belum mempunyai identiti diri sebagai sangat berbahaya dan akan mengkompromikan keselamatan rakyat Sabah.

Beliau kemudiannya meminta agar Ketua Menteri memberi penjelasan dan menyatakan pendirian Kerajaan Negeri berhubung rancangan Kerajaan Persekutuan tersebut.

“Baru-baru ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri telah menyatakan di Dewan Rakyat bahawa kementeriannya mempertimbangkan akan memberi kad pengenalan atau kewarganegaraan kepada penerima vaksin di Sarawak dan Sabah yang belum mempunyai identiti diri.

“Perkara ini boleh dimanipulasi dan disalahgunakan. Apatah lagi ianya direkodkan di hansard Parlimen. Oleh itu, saya ingin meminta penjelasan daripada Ketua Menteri mengenai pendirian Kerajaan Negeri terhadap kenyataan tersebut,” katanya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini kelmarin.

Menurut Ewon, ianya sesuatu yang amat mendukacitakan sekiranya rancangan tersebut diteruskan.

“Ia akan menjadikan Kerajaan Negeri hari ini sebagai mesra pendatang asing kerana bukan sahaja memberikan kemudahan vaksinasi yang menggunakan duit cukai warganegara, malah pula akan memberikan kad pengenalan atau kewarganegaraan. Ini perlu dijelaskan.

“Yang rakyat Sabah mahukan ialah bilah Kerajaan akan menghantar balik “kumpit-kumpit” dan pendatang asing ini balik ke negara asal mereka. Bilakah Kerajaan Negeri akan menggunakan kuasa yang ada padanya untuk menghantar semula pendatang asing ini ke negara asal sepertimana pernah dicadangkan oleh ADUN Tambunan, Datuk Jeffrey Kitingan sebelum beliau menjadi Timbalan Ketua Menteri?”

“Rakyat Sabah mahukan leadership dan political will samada di peringkat Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan mengenai masalah ini,” katanya lagi.

Ewon menambah bahawa pendatang asing yang memiliki kad pengenalan dan seterusnya mengambil bahagian dalam pilihanraya umum telah menyebabkan ADUN kehilangan kelayakan dan kemenangan sepertimana dibuktikan dalam petisyen pilihanraya DUN Likas pada tahun 1999.

“Kita tidak boleh bertoleransi mengenai soal kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah. Bukti-bukti sepertimana direkodkan di Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Pendatang Asing Di Sabah dan kesaksian di Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Integriti cukup jelas menunjukkan kebanjiran pendatang asing akan mengkompromikan keselamatan rakyat Sabah. Kita mahukan penjelasan mengenai rancangan tuntas Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah ini,” katanya.