Beri Kerajaan Satu Penggal Bukti Kemampuan Pulih Ekonomi Sabah

202
Christina (tiga kanan) menyampaikan cenderamata kepada Jung (tiga kiri), turut kelihatan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar William Baya (dua kiri), Pemangku Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah Noredah Othman (kanan).

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew meminta rakyat terutama komuniti peniaga memberi tempoh sekurang-kurangnya satu penggal kepada Kerajaan Sabah untuk memulihkan kembali keadaan ekonomi negeri yang kini berdepan bebanan hutang yang banyak.

Beliau berkata, kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan kerjasama Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) baru memerintah selama setahun jadi berikan masa kepada kerajaan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar ini berkata, kerajaan sedang bekerja keras untuk memperbetulkan kesilapan yang dilakukan kerajaan sebelum ini.

“Saya tidak mengatakan kita (kerajaan) lebih baik berbanding kerajaan terdahulu namun, kita sedang cuba melakukan yang terbaik demi rakyat di negeri ini.

”Kerajaan hari ini cuba melakukan yang terbaik bagi membolehkan ekonomi Sabah terus berkembang.

”Kita (kerajaan) hanya berusia setahun jadi beri ruang kepada kami untuk bekerja. Setiap menteri dalam Kabinet Negeri bekerja keras untuk menjadikan Sabah lebih baik.

”Ketua Menteri juga sedang melakukan yang terbaik. Beliau telah berunding dengan pelabur-pelabur China untuk melabur di Sabah.

”Beliau juga bakal membawa masuk pelaburan bernilai berjuta juta untuk membina kilang pembuatan kaca di KKIP,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kota Kinabalu (KKCCI) Datuk Michael Lui yang menyatakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berjaya membawa perubahan dalam sektor perniagaan walau sudah setahun memerintah.

Pada Rabu Michael dipetik berkata, Kerajaan PH perlu bertindak pantas dalam melaksana program pembangunan serta memajukan ekonomi kerana ini sudah memasuki tahun kedua pemerintahan mereka.

”Kerajaan perlu meningkatkan usaha jika tidak ingin mengecewakan rakyat yang meletakkan harapan yang cukup tinggi terhadap mereka. Jangan lagi memberi alasan,” jelasnya.

Christina berkata, jika apa yang dimaksudkan Presiden KKCCI itu berkaitan bidang perniagaan tidak berkembang, beliau memahami situasi itu.

Katanya, beliau mengakui keadaan yang berlaku kerana apabila berkunjung ke Sandakan, komuniti peniaga di situ juga menyatakan perniagaan tidak begitu baik.

Maka, kerajaan akan membantu mempromosikan industri yang ada di Sabah kepada pelabur luar bagi membolehkan ekonomi negeri ini terus berkembang.

”Saya faham perniagaan tidak berjalan dengan baik pada ketika ini tetapi, berikan kerajaan masa sebab kita baru setahun (memerintah). Bagaimana kita mahu lunaskan semua hutang-hutang kerajaan yang ada,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan akan buat yang terbaik untuk membangunkan ekonomi Sabah jadi berikan mereka satu penggal untuk membuktikannya.