Beri Hukuman Lebih Berat Kepada Pihak Terlibat Bom Ikan, Mohd Shafie

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal mahu tindakan tegas diambil terhadap individu terlibat dalam aktiviti pengeboman ikan yang mengakibatkan kematian tiga penyelam di Pulau Kalapuan, Semporna.

Beliau berkata, kegiatan pengeboman ikan di perairan Sabah perlu ditegah dengan sebaiknya dan hukuman lebih berat harus dikenakan terhadap individu yang didapati melakukan kegiatan sedemikian.

“Penggunaan bom ikan ini memang sudah lama dan selaku Ahli Parlimen Semporna, saya sudah suarakan berulang kali tentang bagaimana untuk mengatasi masalah ini.

“Kita mahu tindakan tegas diambil dan saya juga berharap penduduk tempatan di kampung berdekatan yang tahu siapa sebenarnya terlibat dalam perkara ini supaya maklumkan kepada pihak berkuasa,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kematian tiga penyelam termasuk dua pelancong warga China, di Semporna pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas 2019, di sini pada Ahad.

Mohd Shafie (tiga kanan) menyampaikan skrol diploma kepada salah seorang pelatih , turut kelihatan Ahmad Nizam (kanan), Menteri Pelajaran & Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob (dua kiri) dan Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas Datuk Raiha Azni Abd Rahman (empat kanan).

Mohd Shafie berkata, langkah menghentikan aktiviti pengeboman ikan akan memberi manfaat jangka panjang terhadap kesihatan manusia kerana manusia tidak akan termakan ikan yang dibom.

Katanya, jika nelayan menggunakan bom ikan, kesihatan manusia akan terjejas apabila termakan ikan yang ditangkap menggunakan bom ikan yang mengandungi racun.

Ditanya mengenai gesaan mengharamkan penggunaan bot pam berikutan insiden itu, Mohd Shafie berkata, bot pam bukan penyumbang utama dalam aktiviti pengeboman ikan.

“Perkara yang perlu dilihat adalah dari mana bom ikan itu diperolehi, sama ada dari dalam mahupun luar negeri.

“Siasatan dan perskripsi mengenai kegiatan mengebom ikan ini perlu dilakukan,” jelasnya.

Pada Jumaat, tiga penyelam termasuk seorang jurulatih selaman dan dua pelancong China maut dipercayai akibat terkena bom ikan ketika menyelam di Pulau Kalapuan, Semporna.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah pada Sabtu menyatakan usaha mengenalpasti individu terlibat dalam kegiatan mengebom ikan itu masih dijalankan.

Manakala, dua kru bot yang bertugas menghantar ketiga-tiga penyelam itu ke tapak selaman telah ditahan untuk membantu siasatan.