Beri Dokumen Kuasa Persekutuan, Sabah Hanya Bantu Jika Betul Anak Sabahan

4338

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Pemberian dokumen kepada kanak-kanak tanpa negara yang salah seorang ibu bapa mereka rakyat Sabah tertakluk kepada kuasa Kerajaan Pusat bukannya kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kerajaan negeri bagaimanapun bersedia memberikan bantuan demi membela nasib golongan kanak-kanak tersebut kerana mereka juga adalah anak orang Sabah dan berhak untuk mendapat kemudahan lain terutama pendidikan.

Beliau bagaimanapun menegaskan langkah tersebut bukannya bermaksud memberi dokumen kepada warga asing, malah kerajaan tidak pernah berkompromi dan sentiasa menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berada di negeri ini.

“Kalau bapanya orang asing, ibunya orang asing sudah tentu mereka bukan Sabahan. Saya bukan memperjuangkan orang asing tetapi saya berjuang untuk Sabahan.

“Takkan anak dia yang lahir sama ada ibu dia sebagai orang Sabah atau bapa dia orang Sabah, hanya kerana salah seorang ibu bapa bukan Sabahan maka kita menafikan mereka kemudahan seperti sekolah kerana tiada dokumen,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selasa lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri dalam jawapan lisan kepada persoalan mengenai kanak-kanak yang dilahirkan tanpa negara berkata, kerajaan bersedia membantu golongan tersebut jika salah seorang ibu bapa mereka rakyat Malaysia.

Mohd. Shafie yang kemudiannya memberi reaksi kepada langkah tersebut berkata, kerajaan negeri mengambil langkah positif membantu golongan itu atas dasar perikemanusiaan terutama bagi yang mempunyai ibu atau bapa orang Sabah.

Hasrat murni beliau itu bagaimanapun disalah tafsir oleh segelintir pihak yang menuduh kononnya dokumen akan diberikan kepada PATI.

Mengulas lanjut, tegas beliau, tiada istilah pemberian kad atau apa dokumen sekalipun daripada kerajaan negeri kepada golonan itu kerana kuasa tersebut ada pada Kerajaan Pusat dan pihaknya hanya menghulurkan bantuan.

Sementara itu katanya, cadangan yang dibuat sebelum ini adalah pemberian kad khas kepada warga asing yang mempunyai passport sah dan bekerja dalam sektor perladangan untuk mengelakkan mereka ditangkap.

Katanya, cadangan itu dikemukakan selepas beberapa majikan dalam sektor perladangan mengadu masalah iaitu kekurangan pekerja sehingga menjejaskan pengeluaran hasil.

“Bukannya kita bagi dokumen, kalau orang Filipina dia kena pakai pasport Filipina tetapi untuk bekerja bagi mereka dokumen itu, biar semua tahu mereka orang Filipina yang bekerja di Sabah supaya tidak ditangkap setiap bulan, kita minta mereka didaftarkan.

“Saya berbincang dengan pengusaha ladang mereka mengadu kekurangan pekerja asing kalau buah ada tiada pekerja, buruh tempatan tidak mencukupi,” katanya.

BERITA BERKAITAN :-

Nilai Perikemanusiaan Asas Kepada Program Pemutihan Di Sabah