Berhentilah Menyusahkan Rakyat Anda – Surat Terbuka Kepada Barisan Nasional

Karim Adam
Karim Adam

Oleh KARIM ADAM
SURAT: Keputusan Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional untuk cuba mengenakan cukai kepada pendapatan gereja-gereja dan kuil-kuil sangat mendukacitakan dan memberi bebanan yang semakin berat kepada agama-agama selain Islam.

Sudahpun gereja-gereja dan kuil-kuil ini bergantung kepada sumbangan umat mereka sendiri saja untuk pertumbuhan, pihak kerajaan yang semakin tersepit dengan tabiat buruknya boros dan tidak mengurus dengan baik kewangan awam pula kini cuba “mengorek” pendapatan dari gereja-gereja dan kuil-kuil.

Ini amat memalukan dan Parti Harapan Rakyat Sabah menentang polisi begini yang jelas terdesak dan tidak menghormati agama-agama yang ada. Alasan bahawa agama-agama itu menggunakan dana mereka sebagai pelaburan hartanah dan bukan untuk pengajaran agama adalah tidak masuk akal.

Bulankah gereja-gereja dan kuil-kuil ini juga memerlukan tanah dan bangunan juga untuk menjalankan ibadah mereka? Sudah tentu banyak gereja tidak mampu memiliki tanah luas bahkan untuk mendirikan gereja yang sempurna.

Itulah sebab banyak gereja berada pada tingkat-tingkat atas bangunan pejabat dan rumah kedai. Adakah hartanah dan pelaburan ini keuntungan perseorangan? Bukankah ini adalah untuk agama-agama berkenaan dan umat mereka?

Jelas ia diperuntuk dalam undang-undang dikecualikan dari cukai. Kami menyeru rakyat menolak dasar baru kerajaan BN ini. Kepada BN, berhentilah menyusahkan rakyat anda.

  • Karim Adam adalah bekas ADUN Kundasang. Beliau sekarang adalah ketua penerangan Parti Harapan Rakyat Sabah