Berhentilah Menjadi Politik Katak

Oleh SURAYA SHANAZ
KOTA KINABALU: Ahli politik di Sabah perlu bangun dan berhenti menjadi katak, kata Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, BG Datuk Mohamed Arshad Raji (Rtd).

Sebagai ahli politik katanya, sepatutnya buktikan kepada rakyat bahawa mereka mengambil berat dan dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi negeri berkenaan.

“Ahli politik sepatutnya menyelesaikan semua masalah yang dihadapi oleh negeri mereka, bekerja keras meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat Sabah dan memastikan KDNK negeri ini antara yang tertinggi di Malayasia.

“Bolehkah ahli politik Sabah berbuat seperti ini,” katanya menerusi kenyataaannya di sini hari ini.

Mohamed berkata politik katak ini ini memalukan diri mereka sendiri, keluarga dan masyarakat di  Sabah serta semua rakyat Malaysia.

“Wakil  yang dipilih adalah pemimpin rakyat, mereka dihormati dan masyarakat menjadikan mereka sebagai teladan. Mereka begitu dihormati dalam majlis.

“Namun, gaya mereka baru-baru ini dengan memikat dan terpikat, mendedahkan wajah mereka yang sebenar. Mereka tidak ada perinsip dan mereka juga adalah pengkhianat.

“Mengkhianati antara satu sama lain adalah perkara peribadi, tetapi dengan mengkhianati puluhan ribu orang yang memilih mereka ke jawatan itu adalah satu dosa yang tidak dapat dimaafkan. Merujuk mereka sebagai pariah agak keterlaluan (tidak wajar),” katanya.

Pergolakan politik  di Sabah baru-baru ini, hingga menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada Khamis lalu, meninggalkan kesan pahit dalam kalangan penduduk Malaysia.

Amat tepat dikenali sebagai politik katak, konotasi yang begitu rendah untuk dipanggil sebagai “Yang Berhotmat”,  kepada mereka yang memikat dan terpikat dengan puluhan juta ringgit untuk berpaling tadah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Sabah adalah wilayah yang kurang maju walaupun kaya dengan  sumber semula jadi dan kepelbagaian bio.

“Sabah mempunyai simpanan minyak dan gas, ladang kelapa sawit dan pelancongan. Bagaimanapun, Sabah antara negeri termiskin dan KDNK rendah caripada pendapatan per kapita.

“Masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) dihadapi sejak beberapa dekad. Masalah ini seolah-olah tiada jalan penyelesaian yang turut memberi kesan kepada ekonomi dan keselamatan.

“Selain itu, jalan luar bandar yang masih kurang baik, kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan manusia berleluasa terutama di pantai timur, pengeboman ikan, banjir, penebangan hutan dan pemuliharaan hidupan liar masih menjadi isu,” katanya.