Berhenti Nafi Bung; Terimalah Hakikat Umno Sabah Hampir Lumpuh

2088
SADDI A RAHMAN

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Bung Moktar Radin diingatkan supaya keluar daripada sindrom penafian dan menerima hakikat bahawa UMNO Kinabatangan serta UMNO Sabah kini hampir lumpuh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman berkata, parti itu sudah tidak relevan lagi di Sabah menyebabkan ramai pemimpin dan ahlinya kini menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Di bahagian UMNO Kinabatangan sahaja sudah lebih 60 peratus ketua dan ahli cawangannya menyertai Warisan sejak saya memulakannya dan ada yang lebih awal lagi iaitu selepas Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya umum.

BUNG MOKHTAR – Gambar ihsan Bernama

“Kita akan buktikan bahawa UMNO Kinabatangan dan UMNO Sabah sudah tidak relevan lagi,” katanya dalam kenyataan kepada Borneo Today.

Semalam, Bung menafikan UMNO Kinabatangan semakin teruk selepas ramai ahli-ahlinya berpaling kepada Warisan.

Menurut Bung, UMNO Sabah semakin kuat dan bakal mendapat kuasa autonomi untuk memastikan parti itu menepati jiwa Sabahan sebenar dan tidak terikat dengan keputusan UMNO di Semenanjung.

Sementara itu Saddi berkata, Warisan telah mengambil alih peranan UMNO untuk rakyat Sabah termasuk menuntut hak negeri ini dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pulanglah ke Malaya, kami ada Warisan yang berjuang untuk rakyat Sabah seperti termaktub dalam MA63 yang sudah terhakis tanpa diambil perhatian oleh pemimpin UMNO sejak 55 tahun lalu.

“Akhirnya negeri Sabah jauh ketinggalan dalam semua aspek pembangunan dan ekonomi,” tegas beliau.

Sementara itu mengulas sokongan Bung kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Saddi berkata, beliau menerima baik perkara itu asalkan dibuat secara ikhlas bukannya retorik atau hipokrit.