
Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KUALA LUMPUR: Situasi politik di Semenanjung yang cenderung dikaitkan dengan sentimen agama dan perkauman oleh penyokong politik perlu dicegah daripada merebak sehingga ke Sabah yang terkenal dengan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berikutan itu mencadangkan kerajaan mempercepat pembentangan usul Rang Undang-Undang Akta Suruhanjaya Harmoni dan Perdamaian bagi memastikan pelaksanaannya dapat dibuat lebih awal.
Foong Hin yang membahaskan Usul Titah Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini berkata, cadangan berkenaan seiring dengan gesaan Seri Paduka supaya sebarang perbuatan yang menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara diambil tindakan tegas.
“Orang Sabah amat khuatir tentang perkembangan politik semasa di Semenanjung, di mana isu politik sering dimainkan berdasarkan sentimen agama dan kaum.
“Akta ini amat penting untuk memastikan isu keharmonian diberikan perhatian khusus dan bukan menumpang dalam akta-akta lain.
“Orang Sabah amat sensitif tentang harmoni, dan mungkin inilah sebabnya bekas wakil rakyat UMNO memilih keluar parti, dan UMNO Sabah tidak mahu berkerjasama dengan Pas,” katanya.
Dalam perbahasannya, Foong Hin turut memuji kerjasama erat Kerajaan Parti Warisan Sabah dan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan hasrat rakyat negeri ini terlaksana.
Katanya, ini terbukti apabila usul pindaan Perlembagaan membabitkan Perkara 1(2) akan dibentang yang akan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Semenanjung.
Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 kali ini mendapat tumpuan terutama pembentangan usul pindaan Perlembagaan itu bagi memastikan terma-terma dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akhirnya terlaksana.
Sejak pembentukan Malaysia, Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara tidak pernah menunaikan MA63 menyebabkan hak-hak rakyat Sabah terhakis.