Bendahari Sabah Nafi Kerajaan Tambah Lebih RM4 Bilion Kepada Rizab

1195
Berita ini tidak benar, kata Bendahari Sabah Rusdin Riman

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Jabatan Bendahari Negeri Sabah menafikan laporan akhbar portal bahawa rizab Sabah ditambah lebih RM4 bilion pada tahun 2018.

Bendahari Negeri Sabah Rusdin Riman berkata, kenyataan yang dikeluarkan akhbar itu mengelirukan kerana beliau tidak pernah memberi kenyataan sedemikian.

“Apa yang saya katakan adalah laporan kewangan negeri pada 2018 memang memperlihatkan sedikit peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun peningkatan itu tidak termasuk hutang yang perlu dibayar pada tahun ini (2019).

RUSDIN RIMAN

“Sebelum ini, saya mengatakan bahawa kalau kita lihat laporan kewangan pada 2017, rizab negeri ini hampir RM4 bilion dan insyallah kita sudah selesai menyediakan penyata kewangan tahun 2018 dan ada berlaku peningkatan sedikit.

“Namun, saya tidak boleh menyatakan jumlahnya sebab ianya (laporan) belum lagi diaudit maka, kita tidak boleh mendedahkan jumlahnya. Tapi apa yang pasti memang ada peningkatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Selasa.

Laporan akhbar portal yang bertajuk ‘Pemimpin Sabah menyatakan negeri ini menambah lebih RM4 bilion kepada rizab’ (Sabah leader now says state added over RM4b to reserves) adalah tidak betul dan sangat mengelirukan.

Katanya, wartawan yang menulis tentang rizab Sabah ditambah lebih RM4 bilion itu sesuatu tidak berasas dan hanya imaginasi wartawan berkenaan sahaja.

“Sangat tidak betul untuk menyatakan rizab Sabah meningkat kepada lebih RM4bilion pada 2018,” ujarnya.

Dalam akhbar portal malaymail pada Isnin, Rusdin dipetik berkata, keadaan kewangan Sabah agak baik. Itu yang boleh dikatakan. Jumlah rasmi akan diumumkan sebaik sahaja Jabatan Auditor Negara menandatangani laporan kewangan itu.

“Berdasarkan jadual kami, draf akaun kewangan itu boleh disediakan sebelum hujung bulan ini dan dihantar untuk diaudit pada Februari. Namun ia bergantung kepada Pengarah Audit, ia sepatutnya tidak lama lagi,” jelasnya.