Benarkan Teksi Meter Beroperasi Di Lapangan Terbang

HIEW SU VUN

SANDAKAN: Pengerusi Persatuan Teksi Seluruh Sabah, Hiew Su Vun meminta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah untuk membenarkan teksi bermeter beroperasi di lapangan terbang di negeri ini.

Beliau berkata, ramai rakyat negara ini yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 termasuklah golongan pemandu teksi dan limo lapangan terbang di Sabah.
Jika dilihat pemandu teksi hanya berharap kepada kehadiran penumpang dalam sesuatu kawasan sama ada tumpuan orang ramai dan sebagainya.

“Ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) penumpang berkurangan secara mendadak, dan kawasan tumpuan tidak menjanjikan pendapatan yang baik.

Maka, kami berharap LPKP akan mempertimbangkan permintaan untuk membenarkan teksi bermeter mengambil penumpang di semua lapangan terbang di negeri ini.

“Memandangkan pemandu e-hailing boleh mengambil penumpang di lapangan terbang, maka kehadiran teksi bermeter akan dapat bantu memantapkan lagi perkhidmatan yang ditawarkan kepada penumpang,” ujarnya.

Justeru, mereka merayu kepada LPKP untuk membenarkan pemandu teksi bermeter untuk beroperasi di lapangan terbang dan pada masa yang sama limo lapangan terbang pula dibenarkan mengambil penumpang di tempat lain.

Menurutnya, ini akan mengwujudkan satu situasi menang-menang kepada pemandu teksi bermeter dan pengusaha limo lapangan terbang yang masing-masing berdepan dengan masalah penumpang berkurangan mahupun di kawasan tumpuan atau lapangan terbang.

“Jika LPKP Sabah dapat mempertimbangkan permintaan ini , pihak kami turut memohon jasa baik serta kerjasama pengurusan Malaysia Airports Holdings Berhad untuk menyediakan tempat menunggu penumpang,” jelasnya.