Benarkan Rakyat Sabah Di Semenanjung Undi Pos

KOTA KINABALU: Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY) meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan rakyat Sabah yang belajar dan berkerja di Semenanjung Malaysia di benarkan untuk mengundi pos.

Ketua DAPSY Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, kebenaran itu membolehkan rakyat Sabah yang berada di sana untuk mengundi tanpa perlu menanggung kos penerbangan yang tinggi.

Undian setiap rakyat Sabah amat penting bukan sahaja untuk menghukum katak politik tetapi, untuk mengembalikan kestabilan politik negeri ini.

Langkah ini selaras dengan kenyataan Bersih 2.0 yang menggesa SPR untuk membenarkan belia Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia untuk mengundi secara pos dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah.

“Terdapat ramai rakyat Sabah yang berada jauh yang tidak akan dapat hadir ke pusat mengundi, terutama belia yang berada di Semenanjung Malaysia.

“Setiap undi amat bermakna kerana suara mereka juga harus didengari melalui kertas undi.

“Ini juga selaras dengan usaha berterusan kerajaan Sabah yang memegang prinsip demokrasi bagi melihat proses pengundian dijalankan secara adil dan saksama.

“Keadaan ini akan membolehkan ketidakstabilan politik di Sabah dapat ditangani,” jelasnya.

Phoong berkata, mungkin ramai rakyat Sabah yang berada jauh dari rumah tapi mereka akan terus melindungi sistem demokrasi kita dengan memberi semula mandat kepada wakil rakyat yang mereka yakini.