
Oleh BG DATO MOHAMED ARSHAD RAJI (RTD)
KOMEN: Menjengkelkan sekali apabila ‘hantu-hantu’ Tanduo di Lahad Datu pada 2013 kembali menghantui perjalanan kempen pilihan raya negeri Sabah yang mana rakyat negeri ini akan mengundi pada Sabtu ini (26 September).
Kenangan pahit yang dialami oleh para anggota pasukan keselamatan yang berani dan sanggup mempertaruhkan nyawa hingga ada yang terkorban, ingin sekali kita lupakan. Tetapi kita mahu belajar daripadanya. Dakwaan terbaru mengenai insiden itu muncul dan perlu disiasat supaya kebenaran mengenainya dapat didedahkan.
Dua hari yang lalu, ada pihak yang mencari kesalahan para Patriot dengan mengecam kami kerana tidak menegur Ahli Parlimen Warisan yang mengatakan: “Kereta kebal dihantar ke kampung-kampung untuk berperang dengan ayam”.

Patriot ingin mengingatkan para pengkritik bahawa kita mempunyai kebijaksanaan yang cukup dalam hal semantik dan penggunaan bahasa retorik dalam politik, dan lebih-lebih lagi semasa kempen pilihan raya. Kritikan daripada pihak lawan politik seharusnya memberi pengajaran kepada MP yang cuai itu.
Patriot berpendapat bahawa sikap dan tingkah laku pasukan keselamatan kita semasa kejadian pada bulan Februari/Mac 2013 itu adalah luar biasa. Mereka menuruti arahan yang diberi. Namun, apa yang menghairankan ialah campur tangan beberapa menteri yang bertindak seolah-olah dialah jeneral.
Jeneral dan pemerintah di medan perang seharusnya diberi kebebasan ketika menjalankan tugas tanpa campur tangan politik. Perintah yang sepatutnya dikeluarkan adalah tembak dan membunuh dan tidak melakukan rundingan dengan penceroboh asing bersenjata, seperti yang telah kami sebutkan dalam kenyataan sebelum ini.
Namun, ada tuduhan terbaru yang mengejutkan mengenai kejadian itu yang amat membimbangkan. Ada dakwaan bahawa tanah dijanjikan kepada para penceroboh bersenjata dan mereka datang di sana untuk menuntut tanah berkenaan.
Ada juga yang mendakwa bahawa kejadian itu berlaku kerana puak-puak Moro tidak senang dengan perjanjian damai; dan janji yang tidak dipenuhi dalam rundingan damai Moro di Kuala Lumpur dan perjanjian damai Moro di Manila pada Oktober 2012, di mana negara kita memainkan peranan penting.
Selepas memeriksa laporan daripada Reuters ketika itu mengenai apa yang dilaporkannya di Filipina, ianya tidak sama dengan apa yang dilaporkan di negara kita. Ini mengejutkan jika dakwaan mengenai tanah yang dijanjikan untuk ‘penceroboh asing’ ini adalah benar.
Kabinet utama ketika itu perlu memberikan jawapan. Mereka adalah mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, mantan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mantan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan mantan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
Isu pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah sudah wujud sejak berdekad-dekad lamanya. Kejadian di Lahad Datu yang dikaitkan dengan isu PTI tidak sepatutnya berlaku jika para menteri ada niat politik untuk menyelesaikannya.
Ini adalah pengajaran yang kita mesti belajar dan ia mesti bermula dengan integriti dan kejujuran dalam kerajaan. Lagipun, kehadiran PTI juga merupakan ancaman keselamatan dan apabila kita berasa kesal nanti, ia sudah pun lambat sudah.
Rakyat Sabah dan semua rakyat Malaysia mahukan jawapan mengenai pencerobohan di Lahad Datu.
* BG Dato Mohamed Arshad Raji (Rtd) ialah Presiden, Persatuan Patriot Kebangsaan