Beluran Hope Perlu Bantuan Bina Bilik Isolasi Di Hospital Beluran

Oleh SURAIDAH ROSLAN
BELURAN: Sekumpulan sukarelawan tampil membantu pihak Hospital Beluran membina bilik isolasi bagi ibu mengandung dan pesakit yang disyaki dijangkiti Covid-19.

Wakil Beluran Hope, Lina Ramsah berkata, pihak hospital kini sedang berusaha membina sendiri bilik isolasi ini dengan sumber yang terhad.

Atas sebab itu, selaku penduduk Beluran, mereka terpanggil untuk menghulurkan bantuan agar pembinaan bilik isolasi ini dapat disiapkan.

Lina berkata, memandangkan hospital ini agak kecil dan kelengkapan hospital juga agak terhad, maka bantuan perlu diberikan sebagai persediaan berdepan dengan peningkatan kes Covid-19.

Katanya, buat masa ini Beluran Hope memerlukan bantuan papan lapis, kayu, cat dan jaring hitam.

Sementara untuk keperluan kakitangan hospital, Beluran Hope sedang mendapatkan dana bagi menyediakan set menyemak tekanan darah, kipas, meja, kasut getah, plastik pembalut, kontena bagi menyimpan peralatan perlindungan peribadi (PPE) serta cecair detol.

Mana-mana pihak yang ingin menyumbang bantuan dalam bentuk barangan mahupun wang ringgit boleh berhubung dengan Lina melalui akaun twitter (Lina Klasik).