‘Belum Sesuai Cakap Soal PRK Bugaya’ – Masidi

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun melihat belum tiba masanya untuk bercakap tentang Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya berikutan penyandangnya baru meninggal dunia semalam.

Beliau berkata, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya Datin Manis Muka Mohd Darah baru meninggal dunia dan sekarang bukan masa yang sesuai untuk bercakap tentang PRK kerana semua pihak masih bersedih atas kehilangan wakil rakyat Bugaya itu.

“Biarlah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menentukan. Namun, dalam keadaan ini belum sesuai untuk bercakap pasal PRK. Secara peribadi saya melihat ini keputusan SPR.

“Ini bukan masa berpolitik, politik boleh menunggu. Tumpuan kita adalah fokus untuk menangani dan memerangni Covid-19. Ini bukan soal dari parti mana, ini adalah perjuangan bersama tidak kira dari parti mana untuk kita bersama-sama memerangi virus Covid-19,” katanya ketika ditanya mengenai adakah PRK Bugaya akan turut dicadangkan darurat seperti PRK Batu Sapi.

Beliau berkata demikian semasa sidang media perkembangan semasa Covid-19 Sabah, di sini hari ini.

ADUN Bugaya itu meninggal dunia di Hospital Gleneagles disebabkan masalah buah pinggang.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah ini berkata, Sabah sedang berdepan situasi amat getir dan statistik di negeri ini juga masih membimbangkan biarpun terdapat tanda kes stabil.

Ditanya sejauh mana pengisytiharan darurat di Batu Sapi dapat kekang penularan Covid-19, Masidi berkata, pengisytiharan itu lebih kepada menangguhkan PRK Batu Sapi.

Menurutnya, pelaksanaan PRK tidak boleh dielakkan disebabkan peruntukan yang terdapat dalam perlembagaan dan pengisytiharan darurat yang dibuat memberi kuasa untuk SPR menangguhkan PRK tersebut kepada satu masa yang akan ditentukan kelak.

“Ini keputusan yang tepat dan junjungan kasih kepadda Yang Dipertuan Agong atas kebijaksanaan bagi mengelakkan kita terdedah kepada risiko sekali lagi kepada jangkitan Covid-19 di Batu Sapi.

“Kita harus belajar dari apa yang berlaku selepas pilihan raya negeri (PRN). Kita tidak boleh pandang ringan penularan Covid-19 di Sabah,” jelasnya.