Belum Jadi Kerajaan, PBS, STAR Sudah Tunduk Kepada Perikatan Nasional

Presiden Sabah Star, Jeffrey Kittingan, dua dari kanan, bersama dengan Hamzah Zainuddin dan Jahid Jahim.

Oleh AARON GODWIN
KOTA KINABALU: Tindakan empat calon termasuk dua dari Parti Bersatu Sabah (PBS) menarik diri jelas membuktikan mereka tunduk kepada Perikatan Nasional (PN).

Bagaimana parti tempatan Sabah itu boleh tunduk kepada parti Malaya yang cuba mengatur siapa calon yang boleh bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Hari ini, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan empat calon PBS dan dua calon Bebas yang mesra Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang bertembung di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menarik diri daripada bertanding dalam PRN Sabah.

Empat kawasan itu adalah Tambunan, Bingkor, Bengkoka dan Api-Api.

Untuk kawasan Tambunan dan Bingkor, calon PBS, iaitu Silverius Bruno dan Peter Jino Allion akan menarik diri dan memberi ruang kepada calon STAR, iaitu Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Robert Tawik untuk bertanding.

Manakala, di DUN Api-Api dan Bengoka, dua calon BEBAS yang mesra STAR menarik diri dan memberi ruang kepada calon PBS iaitu Datuk Yee Moh Chai dan Dr Samuil Mopun untuk bertanding.

Semasa penamaan calon, PBS dan STAR bertembung di tujuh kerusi sementara PBS dan Barisan Nasional (BN) bertembung di 16 kerusi.

Dua kerusi DUN lagi menyaksikan pertembungan PN-BN-PBS, iaitu di DUN Paginatan dan Tulid.

Hamzah menjangka empat lagi kawasan yang bertembung sedang dalam perundingan antara PBS dan STAR.

Sementara, PN dan BN juga sedang berbincang untuk meminta calon menarik diri bagi mengelakkan berlaku pertembungan antara calon gabungan tersebut.