Belum Ada Arahan Mahkamah Larang Pengarah JANS Masuk Pejabat

Datuk Peter Anthony merasmikan pembukaan jejantas Jalan Lintas – Penampang Bypass yang siap sepenuhnya.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Infrastruktur mengesahkan Datuk Amarjit Singh masih lagi Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Menterinya, Datuk Peter Anthony berkata, kerajaan akan menerima apa sahaja keputusan mahkamah selepas ini, namun sehingga kini belum ada apa-apa arahan dikeluarkan, malah kes berkenaan telah pun dibawa ke Mahkamah Rayuan.

“Oleh kerana telah berada di peringkat mahkamah kita tunggu di peringkat mahkamah tetapi apa pun pada ketika ini tidak ada arahan daripada mahkamah yang mengarahkan supaya Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah ini untuk bercuti atau arahan daripada mahkamah supaya beliau tidak boleh hadir ke pejabat.

AMARJIT SINGH

“Apa yang kita dapati pada ketika ini tidak ada arahan dan kita menghormati di peringkat mahkamah apa juga keputusan prosiding yang tengah dijalankan pada ketika ini tetapi sudah tentu sepertimana yang kita katakan tadi bahawa ini adalah berdasarkan kerajaan negeri apa-apa pun enakmen apa-apa keputusan telah diputuskan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Terdahulu, Peter merasmikan pembukaan persimpangan bertingkat Jalan Lintas – Penampanh Bypass yang siap sepenuhnya dan boleh digunakan bermula hari ini.

Pada 9 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengisytiharkan pelantikan Amarjit ke jawatan itu pada Ogos tahun lalu bertentanhan dengan Seksyen 3(2) Enakmen Bekalan Air Sabah 2003.

Sementara itu, mengulas tentang khabar angin minggu lalu yang mengatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat JANS, Peter menafikannya.

Pelan projek menaik taraf Jalan Lintas.

“Sebagai menteri saya tidak dimaklumkan tetapi kalau ada mereka dialu-alukan, bila-bila masa. Mereka boleh datang kalau mahu,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas tentang pembukaan jalan itu, Peter berkata, jejantas berkenaan amat ditunggu-tunggu rakyat kerana dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang Jalan Lintas menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Katanya, jejantas berkenaan adalah fasa kedua proses menaik taraf Jalan Lintas yang bernilai RM300 juta melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya.

Beliau berharap bantuan daripada Kerajaan Persekutuan itu akan diteruskan untuk projek-projek menaik taraf jalan-jalan lain di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.

“Kita amat berterima kasih kerana walaupun status tanah jalan raya ini masih di bawah kerajaan negeri tetapi peruntukan tetap diluluskan, mudah-mudahan kesinambungan kelulusan untuk fasa-fasa seterusnya yang seperti jejambat Jalan Donggongon – Tambunan akan mendapat peruntukan juga.

“Kita juga berharap pembinaan seperti Jalan Tun Fuad yang ketika ini tergendala kerana kedudukan tanah tetapi saya percaya Kementerian Kerja Raya akan pertimbangkan supaya jalan tersebut dapat dimulakan segera tahun depan,” katanya.