Belia Mahu Institut Kemahiran Dibina Di Kota Belud – Abdul Rahman

KOTA BELUD: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan akan mencadangkan kepada Kerajaan Pusat supaya membina sebuah institut kemahiran berskala besar di Kota Belud bagi memberi latihan kemahiran kepada para belia di daerah ini yang tercicir dalam bidang akademik.

Beliau berkata belia Kota Belud amat mengimpikan dan mahukan sebuah institut kemahiran dibina sebagai usaha melahirkan lebih ramai golongan itu yang mempunyai kemahiran tinggi seterusnya membuka peluang untuk menempatkan diri dalam pelbagai bidang pekerjaan dan perniagaan.

Rahman Dahlan bersama dua Ikon Belia Kota Belud, Mohd Sirhajwan Idek, kiri, dan Gui Foo Sing kanan, selepas majlis Santai Anak Muda Bersama RD di Dewan Datuk Musbah Kampung Taun Gusi.

“Apabila saya meminta mereka (belia Kota Belud) membuat pilihan sama ada (membina) IPTA (Institut Pengajian Tinggi Awam) atau institut kemahiran, mereka semua meminta institut kemahiran.

“Untuk itu, saya akan ambil kira pandangan orang muda di Kota Belud ini, jika mereka mahu institut kemahiran, maka saya akan sarankan dan membawa cadangan ini untuk perhatian Kerajaan Pusat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Dialog Santai Anak Muda di sini hari Ahad.

Kira-kira 300 belia Kota Belud menyertai program dialog itu yang turut dihadiri Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Jamli yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk.

Terdahulu, dalam sesi dialog itu, belia Kota Belud menyuarakan hasrat supaya kerajaan mempertimbang pembinaan sebuah institut kemahiran seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Kota Belud sebagai inisiatif mempersiapkan diri belia dengan latihan kemahiran yang memenuhi kehendak industri.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang juga Anggota Parlimen Kota Belud berkata, cadangan itu adalah satu idea yang bagus kerana tidak semua belia di luar bandar memiliki keputusan akademik yang baik dan bidang kemahiran diyakini dapat membuka peluang mereka untuk lebih maju serta berdaya saing.

“Bagaimanapun, tidak semestinya (institut kemahiran yang dibina) adalah IKBN kerana kita ada beberapa agensi lain seperti Institut Latihan Perindustrian… jika boleh bawa (cadangan ini dalam bajet) 2017, lagi bagus. Tetapi jika tidak sempat, Insya Allah, dalam Bajet 2018,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman juga optimis cadangan itu, apabila berjaya direalisasikan, ia berupaya melonjakkan lagi sektor pendidikan di Kota Belud memandangkan daerah ini masih belum mempunyai institut kemahiran berskala besar mahupun institut pengajian tinggi.