Belanjawan Pembangunan Luar Bandar Beri Harapan Projek Air DUN Balung

34

TAWAU: Pengumuman peruntukan RM10.9 bilion bagi pembangunan luar bandar pada Belanjawan 2020 menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap penduduk luar bandar.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung, Datuk Osman Jamal berkata dengan itu, diharapkan infrastruktur asas berkaitan utiliti air di Dun Balung mendapat perhatian sewajarnya.

“Bagi kita (rakyat) di (Dun) Balung menyambut baik (belanjawan) itu, kerana (melihat) Balung ini masih banyak ketinggalan dari segi infrastruktur asas khususnya air yang sehingga kini berlaku catuan bekalan air di Balung.

“Diharapkan (belanjawan) Putrajaya menerusi Kementerian Luar Bandar dapat melantik kontraktor untuk membina tiga projek penting (berkaitan air) di (Dun) Balung,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Bulan Sukan Negara peringkat daerah di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu turut optimis dengan pembinaan projek-projek itu dapat menyelesaikan masalah air di kawasannya.

“Kita juga akan turut menumpukan kerja-kerja pembaikan jalan raya rosak serta jambatan usang,” katanya.

Sementara itu, menurut Osman langkah kerajaan membina jalan raya 40 kilometer bernilai RM600 dari bagi Jalan Kalabakan-Serudong, bakal memacu pertumbuhan ekonomi Sabah.

“Sebelum ini konsep dan kertas kerja pembinaan jalan itu sudah disiapkan sejak 2017 dan tahun ini bertuah kerajaan meletakkannya dalam Belanjawan 2020

“Pembinaan jalan itu secara langsung rakyat berhampiran (south region) bakal turut menikmati limpahan pembangunan yang berlaku di Kalimantan,” katanya lagi.

Selain itu, katanya keprihatinan kerajaan meneruskan projek Lebuh Raya Pan Borneo itu juga bakal membawa masuk para pelabur melabur di negeri ini.