Belanjawan 2021 Penting Tangani Cabaran Ekonomi, Keperluan Sosial

LABUAN: Belanjawan 2021 telah menerima pelbagai maklum balas dan reaksi atas tekadnya yang kuat dalam menangani cabaran ekonomi dan seterusnya merangsangkan ekonomi negara, kata ahli lembaga Mara Corp Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Justeru, beliau berkata belanjawan negara itu merupakan instrumen penting menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memenuhi keperluan ekonomi, sosial dan objektif masyarakat dan rakyat.

“Kerajaan semakin prihatin mengenai pentingnya kepelbagaian dalam institusi awam bagi memastikan keperluan, aspirasi dan pengalaman pelbagai peringkat rakyat dicerminkan dalam proses menggubal keputusan yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam belanjawan berkenaan.

“Belanjawan itu amat menyeluruh dan pertumbuhan inklusif amat penting bukan sahaja untuk masyarakat tetapi juga untuk ekonomi yang kukuh.

“Jurang pendapatan antara kaya dan miskin semakin meluas, dan ketidaksamaan ini menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan merenggangkan hubungan antara kerajaan dan rakyat … dan ini telah ditangani oleh kerajaan menerusi belanjawan ini,” kata beliau kepada Bernama.

Suhaili yang juga ahli majlis tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia berkata belanjawan itu turut memenuhi semua segmen masyarakat kerana matlamatnya untuk menjaga kebajikan rakyat, mengemudi ekonomi, mempromosikan kehidupan lestari dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam.

“Kerajaan, menerusi belanjawan ini, mencari cara baharu untuk meningkatkan taraf hidup rakyat serta berkongsi manfaat pertumbuhan secara adil dan saksama dalam semua kelompok masyarakat.

“Dalam menangani cabaran pertumbuhan inklusif, sektor awam mempunyai peranan penting untuk dimainkan dalam lingkungan sektor awam itu sendiri, semua dibuat secara inklusif daripada penggubalan dasar sehinggalah kepada hasil  atau keputusan yang ingin ditingkatkan oleh kerajaan,” kata Suhaili.

Di bawah Belanjawan 2021, kerajaan akan terus melaksana dan menambah baik bantuan tunai dengan cara yang lebih bersasar dengan menggantikan Bantuan Sara Hidup (BSH) dengan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), dengan kadar kategori bantuan dan pendapatan yang lebih tinggi.

Suhaili berkata usaha kerajaan dalam mengimbangi tanggungjawab melindungi kehidupan dan sumber mata pencarian dengan memperkuatkan ekonomi boleh dilihat menerusi pelan pemulihan ekonomi pendekatan 6R iaitu – Resolve, Resilience, Restart, Recovery, Revitalise dan Reform.

Sementara itu, beliau berkata usaha kerajaan menyokong agenda pembangunan Bumiputera untuk mengurangkan jurang perbezaan antara kaum dengan sejumlah peruntukan RM11.1 bilion, penambahan RM3.1 bilion berbanding setahun yang lepas, satu usaha yang dipuji bagi membantu usahawan Bumiputera melebarkan skop perniagaan masing-masing.