Belanjawan 2021 Beri Manfaat Pulihkan Sektor Pelancongan – Jafry Ariffin

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin menyifatkan Belanjawan 2021 sebagai belanjawan yang bersifat realistik dikala negara sedang berdepan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, peruntukan lebih RM100 juta untuk industri pelancongan Sabah itu pastinya dapat membantu memulihkan sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik ini.

Katanya, peruntukan dalam belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam akan disalurkan akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

Ia seiring dengan usaha kementeriannya untuk memulihkan industri pelancongan agar terus kukuh sehingga pandemik Covid-19 berakhir.

Jafry turut melahirkan rasa penghargaan atas Geran Khas Prihatin RM1,000 kepada peniaga dan penjaja di Sabah yang terjejas teruk akibat kekurangan kehadiran pelancong.

Menurutnya, sebelum ini, gerai-gerai meriah dengan pelancong dari dalam dan luar negara namun kini ia hanya sekadar menjadi “penghias” di destinasi pelancongan.

Geran khas yang juga akan diberikan kepada pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan pemandu pelancong, ini pastinya menjadi berita gembira buat mereka selepas hilang punca pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac.

Sementara itu, sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan dan membaik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara dalam memastikan kemudahan yang ada terus menarik perhatian pelancong.

Katanya, dalam lawatan kerja ke beberapa lokasi sebelum ini termasuk Taman-Taman Sabah, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Gua Gomantong, Taman Pulau Pulau Penyu, Sandakan, beliau mendapati banyak infrastruktur yang sudah uzur dan memerlukan penambaikan segera.

Jafry yakin dengan penambahbaikan kemudahan infrastruktur yang ada, ia pastinya akan menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke destinasi tersebut. Ini sekaligus menjadikan industri pelancongan di Sabah terus berkembang pada masa akan datang.