Belanjawan 2020 Mesra Rakyat Jaga Kebajikan Nelayan – Nelayan Lahad Datu

40
Gambar hiasan sahaja.

LAHAD DATU: Persatuan Nelayan Kawasan Lahad Datu, menyifatkan Belanjawan 2020 yang dibentangkan di Parlimen semalam sebagai belanjawan mesra rakyat, di samping memenuhi banyak permintaan komuniti nelayan supaya kerajaan tidak meminggirkan mereka, terutama dalam perkara-perkara yang membabitkan soal keselamatan dan kebajikan.

Pengerusinya, Eskin Barahim berkata antara insentif yang melibatkan komuniti itu secara langsung adalah pemberian elaun sara hidup bagi para nelayan, dan juga pengekalan subsidi minyak petrol buat kumpulan itu.

Selain itu katanya peningkatan peruntukan kepada Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pertahanan Malaysia secara tidak langsung juga memberi manfaat kepada kawalan keselamatan nelayan di laut.

“Kita harap penambahan bajet itu akan membolehkan kawalan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) juga ditingkatkan. Ia memberi faedah besar kepada golongan nelayan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2020 mengumumkan Elaun Sara Hidup Nelayan dinaikkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan, menjadikan peruntukan keseluruhan RM152 juta pada 2020.

Dari segi keselamatan pula, peruntukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dinaikkan kepada RM16.9 bilion di bawah Belanjawan 2020 berbanding RM15.6 bilion pada belanjawan terdahulu, manakala buat Kementerian Pertahanan peruntukan RM15.6 bilion disediakan, berbanding RM13.9 bilion pada belanjawan sebelumnya.

Sementara itu, Ketua Wira Parti Warisan Sabah, Bahagian Silam, Isham Shah Hassan berkata penambahan peruntukan pertahanan dan keselamatan diharap memberi kesan untuk peningkatan keupayaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

Katanya peranan ESSCom akan lebih berkesan untuk mengekang penjenayah rentas sempadan di ESSZone.

“Keprihatinan ini dinantikan terutamanya untuk menambah kekuatan aset bot pemintas laju di kawasan perairan sempadan yang sering diceroboh,” katanya.