Bekas Timbalan Pengarah JKNS, 2 Isteri Dituduh Pecah Amanah

3180
Ismail bersama dua isterinya keluar dari mahkamah selepas dituduh terlibat mengubah wang haram bernilai RM1.946 juta.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) bersama dua isterinya dihadapkan di Mahkamah Sesyen hari ini atas 23 pertuduhan mengubah wang haram bernilai RM1.946 juta.

Daripada jumlah itu Ismail Ahmad, 59, berdepan dengan lapan pertuduhan sendiri bernilai lebih RM1.144 juta manakala tertuduh bersama isteri pertamanya, Muhilim @ Masniah Buaya @ Buayie, 57, berdepan dengan enam pertuduhan mengubah wang haram berjumlah RM204,052.

Ismail turut secara bersama dengan isteri keduanya, Runtiah Rais, 42, berdepan sembilan pertuduhan pecah amanah bernilai RM49,097.

ISMAIL AHMAD

Sementara itu, Muhilim @ Masniah turut berdepan pertuduhan peribadi melibatkan pengubahan wang haram sebanyak RM83,653 manakala Runtiah sebanyak RM464,790.

Ketiga-tiga suspek yang mengaku tidak bersalah dituduh di depan Hakim Abu Bakar Manaf hari ini.

Menurut kertas pertuduhan, 21 kesalahan dilakukan Ismail bersama dua isterinya membabitkan transaksi wang daripada beberapa kontraktor ke dalam akaun peribadinya di beberapa buah bank sekitar Kota Kinabalu pada 23 Januari 2018

Sementara itu, dua lagi pertuduhan turut melibatkan transaksi wang ke dalam akaun tertuduh pada 24 Januari 2018 dan 29 Ogos 2018.

Bagi kesemua kesalahan, ketiga-tiga suspek didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana yang lebih tinggi.

Dalam prosiding tersebut, kesemua tertuduh diwakili peguam Mottie Junius manakala Timbalan Pendakwa Raya diwakili Faliq Basiruddin.

Semasa prosiding, Faliq memohon mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM100,000 ke atas Ismail manakala RM50,000 masing-masing kepada dua isterinya.

Abu Bakar kemudiannya memerintahkan jaminan sebanyak RM100,000 kepada Ismail yang perlu dibayar dua kali iaitu RM50,000 pada minggu manakala bakinya minggu depan.

Beliau turut bersetuju supaya kedua-dua isterinya diikat jamin sebanyak RM50,000 masing-masing dan menetapkan 19 Jun depan untuk sebutan semula kes.