Bekas Timbalan Pengarah Ditahan SPRM

KOTA KINABALU: Mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM14,000, seorang bekas timbalan pengarah agensi kerajaan Sabah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, hari ini.

Menurut sumber, wanita berusia 40 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Sabah, kira-kira 10 pagi tadi selepas hadir memberi keterangan.

Siasatan awal mendapati suspek telah mengemukakan tuntutan resit palsu berhubung pelaksanaan program-program agensi kerajaan sekitar Julai 2013 sehingga Ogos 2014.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, suspek kini dibebaskan dengan jaminan SPRM.