Bekas Penjawat Awam Sokong Kepimpinan Shafie

Dari kiri, Datuk Aliasgar Basri, Datuk Jame Alip dan Datuk Abdullah Sibil.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal terus mendapat sokongan dan kali ini daripada bekas-bekas penjawat awam di Sabah.

Bekas Pengarah Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Sabah, Datuk Aliasgar Basri berkata, kepercayaan dan keyakinan yang tinggi terhadap Mohd Shafie membolehkan pemimpin-pemimpin asal Parti Warisan Sabah (Warisan) terus berdiri teguh dibelakangnya.

Katanya, jika dilihat keadaan semasa, walau berlaku pergolakan, tiada seorang pun bekas wakil rakyat Warisan lari meninggalkan parti. Ini membuktikan kepimpinannya begitu dipercayai dan diyakini.

Beliau berkata, mereka tidak lari meninggalkan parti kerana kepercayaan mereka terhadap pemimpin yang harus disokong.

“Kalau pemimpin mendapat kepercayaan orang ramai, orang sebegini harus kita beri sokongan kerana ini akan membawa keyakinan yang kuat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui Borneo Today, hari ini.

Aliasgar berkata, penglibatan selama 18 tahun dalam UPKR membolehkan beliau matang dalam menilai kepimpinan seseorang dan beliau mahu kepimpinan Mohd Shafie terus disokong dan dikekalkan.

Berkongsi pandangan sama adalah bekas Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Jame Alip.

Pengerusi Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS) ini berkata, senario semasa sudah berubah dan rakyat Sabah perlu memberi sokongan kepada parti tempatan jika ingin melihat perubahan di Sabah.

Katanya, beliau menyokong dan mendokong penuh perjuangan Warisan demi kebaikan kepada orang-orang Sabah.

Menurutnya, penyertaannya sebagai ahli Warisan pada Mac tahun lalu atas keinginannya untuk terus memberi khidmat bakti kepada masyarakat dan bukan sebab ingin mendapat lantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Katanya, pelantikannya sebagai Pengerusi KTYS dianggap sebagai satu penghormatan dan pengiktirafan terhadapnya selaku bekas warga pendidik dan pengarah pendidikan di Sabah.

“Saya percaya disebabkan latar belakang saya, Ketua Menteri memberi kepercayaan kepada saya menjadi Pengerusi KTYS. Pengiktirafan ini bukan hanya kepada saya tetapi juga kepada anak jati Kota Belud terutama suku kaum Bajau,” ujarnya.

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Kewangan Perbadanan Pinjaman Sabah, Datuk Abdullah Sibil pula berkata, kepimpinan Mohd Shafie perlu terus mendapat sokongan dalam membawa pembangunan di negeri ini.

Presiden Persatuan Sama Sabah (PSS) ini berkata, selaku ketua dalam persatuan itu, beliau melihat masih belum ramai kaum etnik ini yang menyertai Warisan dan beliau mahu membawa lebih ramai masyarakat Bajau Sama menyokong parti ini untuk terus kekal memerintah Sabah.

Katanya, beliau berharap pembangunan di Kota Belud akan berterusan di bawah pemerintahan Warisan.