Bekas Penjawat Awam Akui Pentadbiran Shafie Lebih Baik

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Biarpun baru 26 bulan menerajui pentadbiran Sabah, kepimpinan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal cukup disenangi bukan sahaja dalam kalangan anggota perkhidmatan awam tetapi juga, bekas penjawat awam.

Tindakan Ketua Menteri itu melakukan penstrukturan dalam perkhidmatan awam Sabah dilihat telah membawa perubahan kepada sistem pentadbiran yang lebih baik.

Walau terdapat suara-suara sumbang yang mengkritik pemerintahan Shafie namun, mantan penjawat awam yang ditemui Borneo Today hari ini amat yakin, kritikan tidak berasas itu hanya ingin menjatuhkan imej Shafie menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Perkara itu diakui sendiri oleh mantan Pengarah Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Ag Ahmadsyah Talip.

Beliau berkata, pentadbiran Mohd Shafie telah membawa satu kemajuan dalam profesion perkhidmatan awam kepada satu tahap yang lebih baik.

“Dia (Shafie) telah memberi fokus kepada pembangunan struktur awam demi memajukan tenaga kerja dalam profesion perkhidmatan awam kepada satu tahap lebih baik. Malah, dia memberi peluang kepada mereka mengikuti latihan dan pembelajaran.

“Ini membawa kepada penstrukturan baharu yang boleh menaikkan taraf dan gred dalam perkhidmatan awam.

“Kita juga dapat melihat bagaimana pegawai baru dan muda diberikan tanggungjawab besar dalam kepimpinan perkhidmatan awam itu sendiri,” katanya.

Mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Datuk Seri Kamarulzaman Ampong berkata, Ketua Menteri telah melakukan kerja dengan amat baik.

“Kami sangat gembira dengan pentadbirannya. Tapi, bila kita dengar berita-berita di luar, seolah-olah dia tidak melakukan kerja dengan baik, itu tidak benar.

“Kita tahu kenapa benda-benda sebegitu disebarkan, ia Cuma mahu menjatuhkan imejnya (Shafie). Bagi, saya dia kepimpinannya amat baik dan saya memberi sepenuh sokongan terhadapnya,” kata Kamarulzaman.

Turut mengakui kebolehkan Shafie mentadbir Sabah dengan baik adalah mantan Setiausaha Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Yusuff Kassim.

Yusuff berkata, Shafie sentiasa menghargai dan mengiktiraf sumbangan bekas-bekas penjawat awam sehingga masih melantik mereka memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Sekarang saya masih duduk dalam GLC dan itu membantu kami (bekas penjawat awam) meneruskan rancangan-rancangan kerajaan yang baik untuk rakyat. Ini memberi ruang kepada kita meneruskan perkhidmatan yang kita pernah buat suatu masa dahulu dalam perkhidmatan awam.

“Ini peluang yang baik diberikan kepada kami selaku pesara kerajaan,” ujarnya.

Oleh itu, keprihatinan Shafie dalam mengiktiraf sumbangan bekas penjawat awam ini perlu terus dihargai. Sokongan harus diberikan kepadanya untuk terus mentadbir Sabah.