Bekas Ketua Polis, Bekas Peguam Besar, Sahkan Pairin Pengerusikan Mesyuarat

14182

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KIMANIS: Kebenaran tentang wujudnya Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing Di Sabah yang dipengerusikan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan terjawab apabila bekas Pesuruhjaya Polis Sabah dan bekas Peguam Besar Sabah mengesahkan tentang perkara itu.

ABDUL RASHID

Datuk Abdul Rashid Harun yang juga bekas Komander Esscom dan Datuk Mary @ Mariati Robert mengesahkan mereka hadir dalam mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Pairin sewaktu menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah dan juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS).

Abdul Rashid berkata, pemimpin politik mungkin ‘terlupa’ tentang mesyuarat itu, justeru rekod yang ada adalah bukti yang tidak boleh dinafikan tentang perbincangan dibuat bagi menyelaraskan dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang dipegang oleh warga asing di Sabah.

“Memang ada perbincangan dilakukan untuk selaraskan tiga, empat dokumen yang ada sekarang ini untuk kebaikan Sabah bukannya bagi kad pengenalan kepada warga asing.

“Minit mesyuarat ada mana boleh ‘buyuk’. Itu dokumen rasmi memang sah ada mesyuarat itu tujuan dia adalah kita uruskan warga asing ini mana boleh ada sampai lima, enam dokumen di Sabah,” katanya ketika dihubungi Borneo Today hari ini.

MARY @ MARIATI ROBERT

Sementara itu, Mary turut mengesahkan beliau menghadiri mesyuarat itu yang dipengerusikan Pairin, namun enggan mengulas secara lanjut.

“Saya hadir dalam mesyuarat itu yang dipengerusikan Tan Sri Pairin.

“Tentang kandungan mesyuarat saya tidak boleh komen kerana saya terikat dengan Akta Rahsia Rasmi,” katanya melalui aplikasi WhatsApp.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal hari ini sekali lagi mendedahkan tentang dokumen minit mesyuarat jawatankuasa teknikal itu yang dibuat pada 14 Mac 2016 di Wisma Innoprise dan dipengerusikan Pairin serta mencabar beliau mengemukakan saman jika minit mesyuarat itu sengaja direka.

Beliau berkata, perbincangan tentang Pas Residen Sabah dibuat dalam mesyuarat itu yang membutkikan bahawa cadangan berkenaan telah wujud sebelum kerajaan sekarang berhasrat melaksanakannya dengan penambahbaikan dan ditukar nama menjadi Pas Sementara Sabah (PSS).

Pendedahan tersebut dibuat selepas Pairin yang berceramah di pentas Barisan Nasional (BN) semepena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis semalam mendakwa Ketua Menteri berbohong.

BERITA BERKAITAN :-

Shafie Cabar Pairin Saman Jika Beliau Berbohong