Bekas ADUN Kadamaian, Empat Ketua Bahagian PBRS Masuk Upko

Bekas Adun Kadamaian Jeremy Majalad dan Madius Tangau serta beberapa ketua bahagian dan ahli PBRS.

TUARAN: Lima ketua bahagian Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) termasuk bekas Adun Kadamaian yang keluar parti baru-baru ini telah menyerahkan borang keahlian kepada Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko).

Mereka ialah ketua bahagian PBRS Tandek Doison Dansi, Paiman Galimbu (Kundasang), Hendry Luaran (Tamparuli), Suhardi Suyatin (Sulaman) dan ketua bahagian PBRS Kadamaian Jeremmy Malajad.

Pemangku Presiden Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata kelima-lima mereka mengumum keluar daripada PBRS beberapa hari lepas dan menyatakan sokongan terhadap Upko.

“Pada hari ini mereka menyerahkan borang keahlian kepada Upko dan saya difahamkan apabila mereka balik ke bahagian masing-masing akan ada satu lagi majlis penyerahan borang keahlian Upko daripada ketua-ketua cawangan serta ahli PBRS di bahagian mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Santai Raya dan Kaamatan Upko bahagian Tuaran, Rabu malam.

Pada majlis itu kelima-lima mereka telah menyerahkan borang keahlian berkenaan kepada Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Madius berkata tindakan kelima-lima bekas ketua bahagian PBRS itu menunjukkan mereka mendengar seruan Upko untuk bersatu padu dan berjuang dalam satu parti iaitu Upko susulan apa yang berlaku dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beberapa parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS), PBRS dan Upko meninggalkan BN selepas kekalahan mengejut parti berkenaan dalam PRU14 dan kesemua mereka berpendapat BN tidak lagi mendapat sambutan daripada rakyat.

Upko bertindak meninggalkan BN dan kemudiannya bersama-sama dengan Parti Warisan Sabah (WARISAN) serta Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menubuhkan kerajaan baharu negeri Sabah, manakala PBS telah mewujudkan satu gabungan baharu di Sabah iaitu Gabungan Bersatu dengan mengajak semua parti komponen BN menyertai gabungan berkenaan.

Madius berkata keputusan Upko untuk meninggalkan BN adalah sangat tepat pada masanya.

“Kini kita lihat BN hanya ada tiga parti komponen iaitu MCA, MIC dan Umno. Parti komponen yang lain telah meninggalkan BN termasuk parti-parti di Sarawak. Jadi tindakan kita (Upko) meninggalkan BN selepas sahaja pilihan raya lepas adalah sangat tepat,” katanya.