Bekalan Tenaga Solar Akan Disediakan Di Tamu Sangadau, Donggongon

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PENAMPANG: Usaha menambah baik persekitaran tapak Tamu Sangadau, Donggongon sedang giat dijalankan demi menyediakan persekitaran tamu yang kondusif untuk keselesaan peniaga dan pengunjung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang berkata, penaiktarafan tapak tamu sedang dilakukan dan dalam masa sama, pihaknya turut menyediakan bekalan tenaga solar untuk penjaja yang berniaga sehingga waktu malam.

Beliau berkata, penyediaan tenaga solar itu dijangka bermula hujung bulan ini menerusi syarikat yang menyediakan bekalan tenaga solar.

Katanya, penyediaan tenaga solar itu bagi menggantikan set janakuasa yang rosak akibat banjir yang melanda Penampang pada 29 Jun lalu.

“Untuk penyediaan tenaga solar ini, saya sudah mengarahkan pejabat DUN Kapayan dan syarikat yang sebelum ini mengendali projek tenaga solar ini untuk menyediakannya.

“Kosnya juga tidak besar dan selamat digunakan kerana tidak perlu risau jika berlaku banjir. Ia akan diletakkan di atas bumbung dan boleh dijaga dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan kepada penjaja tamu terjejas banjir di kawasan DUN Kapayan, di sini hari ini.

Menurutnya, penambahbaikan tapak tamu itu dapat dilaksana dengan keprihatinan kerajaan negeri dalam memperuntukkan dana bagi membolehkan projek-projek berkaitan dapat dijalankan.

Maka, beliau akan menggunakan dana yang diberi untuk kebaikan rakyat. Namun, dalam masa sama, beliau mahu orang ramai memberi cadangan bersesuaian bagi penambahbaikan kawasan DUN Kapayan.

Mengenai bantuan kepada penjaja tamu, Jannie berkata, bantuan kewangan yang diberi diharap membantu meringankan sedikit bebanan penjaja yang terjejas.

Katanya, biarpun bantuan itu hanya RM150 setiap seorang untuk 65 penjaja diharap ia dapat meringankan beban mereka.

Tambahnya, bantuan itu diharap akan membantu merangsang ekonomi golongan wanita dan ibu tunggal yang terjejas akibat banjir.

Bantuan ini akan diteruskan kerana mereka turut menerima 200 lagi permohonan bagi mendapatkan bantuan mikro Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) itu.

Dalam majlis itu, Jannie turut menyerahkan bantuan pelitup muka dan pensatinasi tangan kepada wakil lapan buah sekolah di DUN Kapayan dan kawasan Penampang.