Bekalan Elektrik Di Sandakan Bertambah Baik Berdasarkan Penurunan SAIDI

Dr Maximus Ongkili
Dr Maximus Ongkili

SANDAKAN – Prestasi pembekalan elektrik di daerah ini banyak meningkat berdasarkan pengurangan Indeks Durasi Purata Gangguan (Saidi) sejak dua tahun lepas.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata pencapaian Saidi pada 2015 sebanyak 379 minit menurun kepada 311 minit pada tahun lepas.

“Terdapat penurunan 68 minit Saidi dan menjadi petanda bahawa bekalan elektrik di kawasan Sandakan bertambah baik. Masih ada 311 minit Saidi perlu kita kurangkan pada masa akan datang,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas lawatan di Pasar Karamunting dekat sini, hari Jumaat, Maximus yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah berkata kementeriannya memberi Indeks Prestasi Utama (KPI) Saidi bekalan elektrik di Sabah ke tahap 150 minit dalam tiga tahun lagi kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Menurutnya pada tahun ini kementeriannya memberi KPI kepada SESB untuk menurunkan Saidi bekalan elektrik di Sabah ke tahap 250 minit.

Beliau yakin ia mampu dicapai disebabkan pelaksanaan pembangunan untuk bekalan elektrik di negeri ini pada tahun ini termasuk pembinaan pencawang baharu dan penggantian wayar kepada kabel.

Dalam pada itu, Maximus berkata pembukaan Pasar Karamunting yang baharu dibuka sejak dua bulan lepas bagi memenuhi permintaan rakyat di kawasan sekitarnya.

Katanya penjaja dan pengguna pasar itu yang beliau temui berasa senang hati dengan pembukaan Pasar Karamunting yang dalam keadaan bersih dan teratur.

Menurutnya pembinaan pasar itu merupakan usaha kerajaan Barisan Nasional untuk memastikan keperluan asas rakyat ditunaikan.

Pasar Karamunting menyediakan 70 lot menjual ikan, 25 lot gerai makan dan 40 lot lagi menjual sayur-sayuran.