Bekalan Elektrik 67 Pencawang Terjejas Banjir Telah Dipulihkan

Abdul Nasser (kanan) bersama Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB Ir Norhizami Abu Hasan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sebanyak 67 pencawang elektrik di empat daerah turut terjejas akibat banjir yang berlaku baru-baru ini menyebabkan gangguan bekalan.

Pemangku Pengarah Urusan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB), Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, tindakan segera pihaknya bagaimanapun berjaya memulihkan bekalan di sebahagian besar kawasan yang dilanda banjir.

“Alhamdulillah semua 100 peratus telah dipulihkan.

“Memang agak mencabar sebab ada tempat lambat kita perbaiki berikutan terputus hubungan disebabkan tanah runtuh dan sebagainya.

Abdul Nasser (tengah) bersama Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB Ir Norhizami Abu Hasan ketika mengadakan kunjunagan hormat kepada Mohd Shafie.

“Berkat kesungguhan semua pihak dan kerjasama pihak-pihak berkaitan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penduduk kampung, kita berjaya tangani isu tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini hari ini.

Katanya, dalam kunjungan tersebut, Datuk Seri Panglima Mohd .Shafie Apdal turut memberi nasihat untuk penambahbaikan SESB.

Ditanya jika ada perbincangan mengenai proses pengambilalihan SESB, beliau berkata, perkara tersebut tidak dibincangkan.

Sementara itu, mengulas tentang pekerja kontraktor lantikan SESB yang lemas di Papar semalam, katanya, mangsa terjatuh ke dalam sungai selepas melakukan kerja-kerja pemasangan kabel elektrik.

Abdul Nasser berkata, mangsa kemungkinan terjatuh semasa dalam perjalanan pulang dari kerja dan gagal diselamatkan.

“Tapi kejadian ini berlaku selepas kerja dilaksanakan. Bukan masa memasang, itu kami boleh sahkan.

“Pihak kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya ketika mengulas mengenai insiden pekerja penyelenggaraan SESB yang lemas di sungai Kampung Mondikot, Papar.

Pekerja kontraktor lantikan SESB yang berumur 38 tahun itu ditemukan orang awam dan pasukan penyelamat pada jarak 100 meter dari lokasi terakhir mangsa terjatuh di dalam sungai pada 6.20 petang semalam.