Bekalan Air Sabah Selamat Diminum – Peter Anthony

982
Peter Anthony dalam sidang akhbar menegaskan bekalan air di negeri ini selamat untuk diminum.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Infrastruktur menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya bekalan air di negeri ini tidak selamat untuk diminum.

Menterinya, Datuk Peter Anthony berkata, kesemua 58 loji yang telah diambil alih oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) diselia dengan baik justeru bekalan air yang disalur kepada pengguna bersih dan selamat.

Beliau berkata, JANS akan membuat laporan polis agar siasatan dapat dilakukan untuk mengesan individu-individu yang cuba menyebar fitnah bagi memburuk-burukkan kerajaan dan kementerian atas kepentingan politik.

“Saya mahu tegaskan di sini bekalan air di Sabah selamat untuk diminum tidak seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak kononnya bekalan air tidak boleh diminum.

“Kami tahu ada pihak yang cuba memburuk-burukkan kerajaan dan kita akan ambil tindakan sewajarnya ke atas mereka yang terlibat,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Peter berkata, kerajaan telah membuat keputusan untuk mengambil alih kesemua loji berkenaan sebagai langkah penjimatan memandangkan berlaku pembaziran yang melampau dalam pengurusan air negeri di bawah kerajaan terdahulu.

Berikutan itu katanya, berlaku sabotaj oleh pihak tertentu terutama di Loji Segaliud, Sandakan dan Loji Milau, Kudat apabila syarikat konsesi yang sebelum ini menguruskannya bertindak membawa keluar pelbagai peralatan loji termasuk klorin yang sepatutnya menjadi hak milik JANS.

“Masalah di Segaliud dan Milau sepatutnya semua barang yang ada di loji itu adalah hak kerajaan negeri Sabah, mereka tidak boleh ambil tetapi mereka keluarkan semuanya termasuk klorin,” kata Peter.

Sementara itu, mengulas hasrat salah sebuah syarikat konsesi itu, Arawira Sdh. Bhd. untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan berhubung proses pengambilalihan berkenaan, Peter berkata mereka mempunyai hak melakukannya.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran kepada syarikat tersebut bahawa pihak kementerian juga akan melakukan siasatan berapa jumlah cukai pendapatan yang tidak pernah dibayar oleh syarikat berkenaan walaupun telah menerima bayaran jutaan ringgit daripada kerajaan sebelum ini untuk menguruskan bekalan air negeri.

“Kita ambil alih kerana mahu buat penjimatan terhadap duit kerajaan, duit rakyat tetapi kalau mereka hendak mengambil tindakan itu hak mereka.

“Saya akan minta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk siasat syarikat-syarikat ini berapa banyak cukai yang mereka lari kerana sebelum ini kerajaan telah membayar mereka terlalu banyak,” tegasnya.