Bekalan Air, Elektrik Penting Untuk Yakinkan Pelabur

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Pembinaan empangan Papar bukan sahaja akan membekalkan air dan elektrik malah turut mampu meyakinkan pelabur untuk datang ke negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, empangan tersebut merupakan pembangunan terancang untuk pantai barat terutama kawasan sekitar Kota Kinabalu yang menjadi tumpuan pelabur.

“Pentingnya bukan untuk bekalan air sahaja tetapi elektrik di pantai barat terutama Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Menggatal dan Inanam, yang kita sedar banyak pelaburan masuk ke kawasan ini.

“Ini merupakan empangan yang membekalkan dua perkara, kita sedar dan tahu empangan ini akan membawa kemudahan asas ke kawasan kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Pembangunan Infrastruktur hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony, pemimpin Kabinet Sabah, pemimpin kerajaan serta rakyat daripada pelbagai bangsa dan agama.

Mohd. Shafie berkata, beliau peka kepada tuntutan aktivis alam sekitar yang menolak pembinaan empangan itu, namun beliau menegaskan jika projek tersebut tidak membinasakan maka lebih baik dijalankan demi menyelamatkan ekonomi Sabah.

“Kita tidak boleh tunggu hari ini mungkin ada beberapa orang protes di tapak empangan tapi kita yakin nanti beratus ribu akan bantah kalau sudah tiada air dan elektrik.

“Pada masa itu kalau kita mahu tunggu (buat empangan) masa sudah tidak cukup, jika baru mahu buat kajian mendalam apakah kesannya dan jumlah kos bukan boleh buat cepat masanya dalam sebulan dua juga,” jelas beliau.

Tambah Mohd. Shafie, kajian turut dibuat tentang pembinaan empangan di pantai timur bagi membolehkan masalah air dan elektrik yang berlaku di sana diselesaikan.

“Kita akan buat kajian di pantai timur, Tawau sudah ada kita kenal pasti jumlah yang perlu lagi.

“Cuma mahu nyatakan bahawa ini langkah kita untuk masa depan bagi membolehkan bekalan elektrik dan air dibekalkan, tidak boleh tunggu sehingga bekalan tidak cukup,” tegasnya.