Bebanan Hutang SESB Perlu Diambil Kira Sebelum Ambil Alih

2341

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan mengenai cara terbaik untuk menangani liabiliti kewangan yang dialami Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, sebelum mengambil alih sepenuhnya agensi yang membekalkan elektrik di Sabah itu, liabiliti kewangan agensi itu perlu dilihat dengan sebaiknya.

Dengan itu, beliau akan berbincang dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng tentang bebanan hutang SESB yang hampir mencecah RM2bilion. Kerajaan Negeri tidak boleh mengambil sepenuhnya bebanan hutang yang banyak itu.

3“Maka, kita akan berbincang bagaimana untuk menguruskan hutang itu. Ianya boleh dilakukan tetapi perlu dibincangkan dengan sebaiknya dengan Menteri Kewangan,” ketika ditanya tentang keputusan Kerajaan Persekutuan untuk memulangkan semula SESB kepada Kerajaan Sabah.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Pesta Tarian Singa dan Unicorn anjuran Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), di sini pada Sabtu.

Mohd Shafie berkata, Kerajaan Negeri juga telah melantik konsultan bagi melihat liabiliti kewangan yang ada agar proses transisi pengambilalihan SESB oleh Kerajaan Sabah berjalan lancar.

Menurutnya, dalam perbincangan bersama Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin pada Jumaat, Yeo memaklumkan bahawa Kabinet Persekutuan telah meluluskan secara prinsipal untuk menyerahkan semula SESB kepada Kerajaan Negeri Sabah.

Dengan itu, satu Jawatankuasa Khas akan dibentuk diperingkat negeri bagi membolehkan proses penyerahan semula itu dipercepatkan.

“Kita kena ambil pendekatan untuk melihat bagaimana cara melicinkan proses transisi pengambilalihan SESB daripada Tenaga Nasional Berhad kepada Kerajaan Negeri Sabah kerana ini membabitkan masalah kewangan.

“Kita sedar proses itu melibatkan liabiliti kewangan jadi kita runding dengan baik. Ia (SESB) salah satu unit paling penting kepada kita dalam pembangunan dan kemajuan Sabah seiring langkah kita beralih kepada ekonomi berasaskan perindustrian.

“Bekalan elektrik merupakan salah satu kemudahan bekalan utama yang dapat menarik pelabur dan kadarnya kena diurus dengan baik. Bukan hanya pelabur malah, kampung-kampung di negeri ini juga masih ada yang belum mempunyai bekalan elektrik walaupun kita sudah lama mencapai kemerdekaan,” katanya.

Beliau berkata, usaha menyusun semula SESB ini bukan mudah tetapi, itulah tanggungjawab yang perlu dipikul sebaik mungkin.

Katanya, SESB perlu diurustadbir dengan baik supaya tiada ketirisan dari segi kewangan dan bebanan hutangnya dapat dikurangkan dari masa ke semasa.

Pada Jumaat, Yeo memaklumkan dua jawatankuasa khas akan dibentuk dalam usaha penyerahan SESB kepada Kerajaan Sabah. Jawatankuasa itu adalah Jawatankuasa Khas Kewangan yang akan melibatkan Kementerian Kewangan: serta Jawatankuasa Khas Teknikal yang akan membabitkan MESTECC dan Kerajaan Negeri Sabah.

Yeo berkata, Kerajaan Persekutuan menyasarkan proses penyerahan SESB kepada Kerajaan Negeri Sabah itu akan dapat dilakukan dalam tempoh dua tahun. Namun, ia terpulang kepada hasil perbincangan yang diputuskan melalui jawatankuasa khas berkenaan.