Beaufort Dilanda Banjir

73
Anggota APM membantu seorang warga emas keluar dari rumahnya yang dilanda banjir.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Hujan lebat yang berlarutan sejak beberapa hari lalu berikutan Monsun Timur Laut menyebabkan beberapa kawasan di daerah Beaufort mula ditenggelami air sejak pagi ini.

Setakat petang ini, sebanyak lapan keluarga telah dipindahkan di satu pusat penempatan sementara (PPS) yang dibuka di Dewan Serbaguna Selagon.

MOHD MAYROOF KOIBIL

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort, Leftenan Pertahanan Awam Mohd Mayroof Koibil berkata, anggotanya telah ditempatkan di daerah itu bagi membantu mangsa dan menjaga keselamatan.

“Terdapat lapan kampung yang dilanda banjir iaitu Kampung Bambangan, Sinoko, Sindok, Baitam Ulu, Baitam Laut, Kayai, Papas dan Lumantak.

“Keadaan bagaimanapun masih terkawal, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mangsa banjir dibawa keluar ke kawasan selamat menaiki bot.

Menurut beliau, beberapa jalan terputus akibat ditenggelami air dan hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat iaitu Jalan Kampung Poring, Jalan Kampung Baitam Laut, Jalan Baitam Ulu dan Jalan Kampung Kayai.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi hari ini mengeluarkan amaran ribut petir di seluruh negara termasuk Sabah

Menurut jabatan itu, di Sabah, kawasan pantai barat adalah yang paling terjejas teruk..

“Bagi kawasan di negeri luar Semenanjung ialah pedalaman (Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat, (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) serta Kudat.

“Orang ramai yang ingin melakukan aktiviti luar atau beriadah dinasihatkan supaya lebih berhati-hati,” kata jabatan itu.