BBP Tawau Terima Peralatan Keperluan Covid-19

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau menerima sumbangan peralatan keperluan Covid-19 dan bekalan makanan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, di sini, hari ini.

Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, bantuan itu bertujuan sebagai persediaan keselamatan anggota BBP Tawau yang terbabit dalam operasi membasmi virus di daerah ini.

“Ia adalah inisiatif JBPM Sabah dalam menyediakan peralatan yang lengkap dan selamat kepada anggota bertugas di setiap daerah.

“Umum mengetahui bahawa angota bomba turut memainkan peranan bertugas melakukan kerja pembersihan dan semburan cecair nyah kuman terutamanya membabitkan kawasan jangkitan Covid-19,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Tambahnya, selain itu, JBPM turut berperanan dalam membantu pemindahan rakyat Malaysia yang balik dari luar negara atau warga Sabah dari negeri lain, membantu menguruskan jenazah pesakit Covid-19 dan semburan nyah kuman di pasar awam.

“Sehingga hari ini, JBPM Sabah melakukan semburan nyah kuman di lebih 500 premis di seluruh Sabah.

“Ia membabitkan 124 premis di zon merah, 367 premis (zon kuning) dan 42 premis zon hijau,” katanya.

Sementara itu, laporan indeks kebakaran dan penyelamatan sepanjang tempoh Januari hingga April tahun ini menunjukkan penurunan berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Kamarulzaman berkata berdasarkan statistik terutamanya ketika perlaksanaan PKP menyaksikan kes kebakaran menurun sebanyak 35 peratus dan penyelamat 38 peratus.

“Berkaitan operasi memadam kebakaran hutan di kawasan tanah gambut sekitar Hutan Simpan Binsuluk dan Beaufort berjaya ditamatkan Sabtu lalu.

” Ia berikutan selepas memastikan kawasan itu selamat dan tiada risiko kebakaran berlaku,” katanya.