Bayi Masih Bertali Pusat Ditemukan Di Sandakan

117
Gambar hiasan sahaja.

SANDAKAN: Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemukan dalam keadaan masih bertali pusat di Taman Ujana Elopura di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin berkata bayi itu ditemui oleh orang awam yang datang memancing di kawasan itu kira-kira 12.30 pagi.

AZHAR HAMIN

“Bayi itu kemudiannya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk rawatan lanjut.

“Setakat ini keturunan bayi masih belum dapat dikenal pasti kerana dipercayai baru sahaja dilahirkan dan keadaan bayi itu kini dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Azhar meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, yang membabitkan kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.