Bayi Bertali Pusat Ditinggalkan Di Pagar Rumah Anak Yatim

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui ditinggalkan di pintu pagar Pusat Jagaan Anak Yatim Al Yakin, di Batu 1 1/2, di sini, awal pagi tadi.

Bayi seberat 2.65 kilogram itu ditemui seorang wanita ketika sedang menjemur kain di halaman rumahnya yang terletak berhampiran dengan pusat jagaan itu pada jam 5.40 pagi tadi.

Sebelum itu, wanita itu dikatakan terdengar suara bayi menangis sebelum menemui bayi berkenaan yang cuma dibalut kain dan diletakkan di dalam kotak.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata wanita terbabit menghubungi polis sebelum bayi berkenaan dibawa ke Hospital Duchess of Kent, di sini.

“Bayi itu tidak mengalami kecederaan dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Bayi (NICU).

“Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi pihak polis,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Azhar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.