Bayi Baru Lahir Dibuang di Rumah Sampah di Indah Permai

Gambar media sosial.

KOTA KINABALU: Tangisan bayi yang kedengaran berhampiran kawasan pembuangan sampah membawa kepada penemuan seorang bayi lelaki di Taman Indah Permai, Sepanggar malam tadi.

Dalam kejadian pada 7 malam itu, bayi lelaki yang masih bertali pusat itu ditemukan oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

Suara rengekan bayi itu menyebabkan lelaki berusia 30an itu cuba mencari dari arah mana tangisan bayi tersebut.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Superitendan George Abd Rakman berkata, berdasarkan siasatan awal, pengadu memaklumkan terdengar suara tangisan bayi berhampiran rumah sampah berkenaan.

Apabila menghampiri kawasan itu, suara tangisan kedengaran semakin kuat dan pengadu terkejut setelah menemukan bayi dalam keadaan masih bernyawa.

Pengadu kemudiannya melaporkan tentang penemuan bayi itu dengan menghubungi pusat panggilan kecemasan MERS 999.

“Sepasukan polis tiba di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan bayi tersebut dihantar menggunakan ambulans ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Pihak polis turut menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan atas kesalahan membuang bayi.