Bayi Alami Pendarahan Otak, Sepasang Kekasih Warga Asing Ditahan

PETER UMBUAS

Oleh SURAIDAH ROSLAN
TAWAU: Perbuatan tidak mengendahkan bayi berusia lapan bulan yang terjatuh dari buaian untuk mendapat rawatan segera pada bulan lepas mengakibatkan seorang bayi mengalami pendarahan otak.

Susulan itu, sepasang kekasih warga asing yang merupakan ibu bapa kepada bayi tersebut direman di mahkamah, di sini pagi tadi.

Kedua-dua suspek berusia 42 tahun (bapa bayi) dan ibunya berusia 21 tahun.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pasangan itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Kausing, Batu 6 1/2, Jalan Apas 7.30 pagi semalam atas kesalahan mengabaikan bayi yang mengalami kecederaan tanpa mendapatkan rawatan segera.

Berdasarkan fakta kes, seorang pegawai perubatan membuat laporan polis pada 8 Feb lalu selepas menjalankan rawatan ke atas bayi perempuan berusia lapan bulan yang didapati mengalami pendarahan otak dan dalam keadaan bengkak. Malah terdapat kecederaan fizikal pada bayi tersebut.

Difahamkan bayi itu terjatuh dari buaian pada Januari lalu dan ibunya sering membuai bayi itu dengan kuat dan laju.

Peter berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu tidak pernah berkahwin dan tinggal bersama sejak Disember 2019. Hasil perhubungan itu membawa kepada kelahiran seorang bayi perempuan pra-matang pada 17 Jun tahun lepas.

Katanya, kejadian bayi terjatuh dari buaian akibat dibuai dalam keadaan laju berlaku pada Januari lalu di rumah kediaman mereka di Kampung Kuasing.

“Sewaktu mangsa terjatuh dari buaian, tidak terdapat kesan-kesan kecederaan pada mangsa sehingga 8 Feb apabila keadaan fizikal mangsa berubah dan kepala mangsa membesar serta berada mangsa dalam keadaan tidak bermaya.

“Suspek yang bimbang dengan perubahan mangsa memutuskan menghantar mangsa ke Hospital Tawau. Mangsa juga pernah mengalami rawatan pra-matang pada Jun tahun lepas kemudian pada November, mangsa dirawat kerana jangkitan kuman pada bahagian usus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Peter berkata, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan pada bahagian badan dan dalam kategori parah.

Beliau berkata, mangsa kini ditempatkan di Unit Pediatrik Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tawau dan sedang menjalani rawatan dan pemantauan rapi. Mangsa turut dibantu dengan bantuan alat pernafasan serta bantuan Inotrop.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.